Sarawak United sah ke Liga Super 2022

KETUA jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan menegaskan, barisan pemain belum boleh mendabik dada dengan meraikan kejayaan layak ke Liga Super 2022 kerana perlu menyasarkan kejuaraan Liga Premier pada musim ini.

Sebagai rekod, skuad The Golden Hornbill telah mengesahkan slot ke Liga Super musim depan susulan kekalahan Kuching City FC kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan keputusan 1-2 kelmarin.

Namun, Elavarasan tetap mahu anak-anak buahnya mengambil serius baki tiga aksi Liga Premier musim ini bagi memastikan trofi liga divisyen kedua bola sepak negara menjadi milik Sarawak musim ini.

“Persembahan pemain sepanjang musim ini cukup membanggakan dan saya sebagai jurulatih hanya menjalankan tugas untuk memastikan misi ke Liga Super tercapai.

“Sudah tentu lega sebab melepasi sasaran pertama, itu paling penting. Cuma apabila kita sudah layak awal, sudah pasti kita fokus misi untuk menjadi juara dan kami mahu meraih keputusan positif pada saingan akan datang,” katanya.

Musim lepas, Sarawak United hanya mampu meraih kedudukan ke-10 Liga Premier setelah proses penjenamaan semula dilakukan pada awal tahun lalu.

Kali terakhir pasukan yang dikenali dengan nama Sarawak FA beraksi di pentas Liga Super adalah pada musim 2017 dengan menamatkan saingan di kedudukan ke-11 liga.