Sarawak bakal menghadapi nasib seperti Pahang?

Kuala Lumpur: Adakah Sarawak bakal menghadapi nasib seperti Pahang perlu membayar denda dan tunggakan gaji kerana gagal berbuat demikian pada musim lalu?

Hal ini kerana bekas jurulatih pasukan terbabit Ian Gillan sudah mula hilang sabar dengan membuat aduan kepada Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) untuk menuntut haknya sebanyak RM550,000 yang dipercayai masih lagi gagal dibayar oleh Sarawak.

Tindakan itu juga dipercayai apabila Sarawak sehingga kini tidak memberikan sebarang maklum balas kepada peguam Gillan berkaitan tuntutan berkenaan sekali gus menyebabkan beliau mengadu perkara itu kepada FIFA.

Jika tiada sebarang maklum balas daripada Sarawak menyebabkan juara Liga Perdana 2013 boleh dikenakan hukuman denda atau pemotongan mata selain sekatan untuk mengambil pemain baru.

Gillan berkata, beliau masih mengharapkan Sarawak dapat menyelesaikan segera tunggakan gajinya yang sudah berlanjutan hampir dua tahun.

“Peguam saya terkejut Sarawak tidak memberi sebarang maklum balas walaupun sudah menghubungi mereka menerusi emel.

“Saya menghadapi masalah mendapatkan visa kerana cukai tidak dibayar dari November 2017 hingga Disember 2018. Namun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sangat membantu terutama untuk mendapat visa jangka pendek.

“Saya juga tidak boleh melakukan urusan untuk memindahkan wang ke keluarga saya kerana saya tidak mempunyai visa sah dan itu menjadi masalah,” katanya.

Selain itu, Gillan yang pernah menyandang jawatan pengarah teknikal pembangunan bolasepak Kedah sudah terbabit dalam industri bola sepak Malaysia sejak tujuh tahun lalu.

“Walaupun saya melalui pengalaman yang agak buruk bersama Sarawak namun cukup seronok berada di Malaysia dan tidak akan berhenti dalam sukan bola sepak.

“Saya hanya berharap kita dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin tanpa sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Sarawak FA (SFA) Datuk Posa Majais berkata, Gillan perlu lebih bersabar kerana pihaknya akan menyelesaikan tunggakan gaji itu dalam masa terdekat.

“Kami tidak menerima sebarang notis daripada FIFA. Jika diikutkan, kami ingin membayarnya bulan ini dan sudah menulis surat yang memberitahunya mengenainya.

“Sekiranya kami tidak membayar sebelum bulan depan, beliau boleh mengambil tindakan.Kami mahukannya datang ke sini (Sarawak), tetapi beliau tidak mahu,” katanya.

Sumber: HM