sampai bila nak menang dengan Indonesia saja

BEKAS pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berpandangan sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) keluar daripada kepompong jurulatih tempatan dengan mengintai jurulatih dari Korea Selatan atau Jepun.

Jelas Serbegeth atau lebih dikenali dengan Shebby, falsafah bola sepak Malaysia yang diterajui beberapa pengendali tempatan baginya sudah tidak relevan dan ia perlu ditambah baik dengan falsafah baharu.

Katanya, pasukan Vietnam adalah contoh terbaik di mana falsafah jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-seo berjaya mengubah skuad Naga Emas untuk muncul antara negara terkuat di Asia ketika ini.

Malah, Thailand juga yang kini di bawah kendalian jurulatih Jepun, Akira Nishino mengalami transisi perubahan dengan menekankan falsafah permainan pantas seperti mana digunakan skuad Samurai Biru.

“Kita menang dengan Indonesia (Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023) dua kali memang bagus, ditambah menang dengan Thailand di Bukit Jalil juga bagus. Tapi kena ingat sampai bila nak menang dengan Indonesia saja dan sampai bila nak menang di tempat sendiri lawan Thailand saja. Bila main luar dari Malaysia atau lawan pasukan dari Asia Barat atau Asia Timur kita kalah.

“Sebabnya satu saja, kerana kita tak ada falsafah bola sepak yang betul. Jurulatih tempatan bukan tak bagus, tetapi falsafah bola sepak kita mudah dibaca pasukan lawan. Pada saya, kalau nak ubah bola sepak Malaysia kita kena ubah falsafah kita. Biarlah bermula daripada skuad B-22 yang kebetulan tengah mencari jurulatih untuk ganti OKS (Datuk Ong Kim Swee),” katanya kepada Arena Metro.

Akhbar ini semalam melaporkan FAM meneliti tiga kemungkinan dalam mencari pengganti jurulatih skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee yang bakal menamatkan kontraknya hujung bulan ini.

FAM mungkin turut menggunakan khidmat pengendali senior, Tan Cheng Hoe; menaikkan pangkat jurulatih B-18, Brad Maloney atau melantik jurulatih baharu.

Sejak 1963, skuad Harimau Malaya tidak pernah dilatih jurulatih daripada Korea Selatan atau Jepun dengan kebanyakan pengendali asing berasal dari Eropah manakala selebihnya anak tempatan.

Bermula dari 2005, pasukan negara hanya mendapat sentuhan jurulatih tempatan iaitu Norizan Bakar (2005-2007), B Sathianathan (2007-2008), Datuk K Rajagopal (2009-2013), Datuk Ong Kim Swee (2014 dan 2015-2017) dan Dollah Salleh (2014-2015).

Begitupun, pada 2017 FAM di bawah pengurusan Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendapatkan sentuhan Nelo Vingada dari Portugal sebelum digantikan dengan Tan Cheng Hoe pada Disember tahun yang sama.

“Saya rasa elok ambil jurulatih Korea Selatan dan Jepun untuk memberi nafas baharu,” kata Shebby.