Sah Sertai Kelab Toyota Thai League 1

Pemain skuad kebangsaan Filipina yang beraksi cemerlang dalam saingan Sukan SEA 2019, Amani Manuel Santos Aguinaldo kini secara rasminya menjadi pemain baharu kelab Toyota Thai League 1 (T1), Trat FC.

Kehadiran Amani bagi memperkuatkan jentera pert4hanan pasukan itu telah disahkan oleh laman Facebook rasmiĀ Trat FC.

Pemain berusia 24 tahun itu sebelum ini beraksi di Malaysia apabila menyarung jersi Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) selepas dipinjamkan dari Ceres-Negros FC.

Menurut sumberĀ Fox Sports Asia, Amani sebelum ini menjalani sesi percubaan untuk beraksi bersama kelab Liga Korea Selatan (K-League), Incheon United tetapi ianya tidak berhasil.

Keadaan tersebut memaksa beliau kembali ke Asia Tenggara (ASEAN) sekaligus memeterai perjanjian untuk beraksi bersama kelab yang menamatkan persaingan T1 2019 di tempat ke-10 itu.

Trat FC mengharungi 30 perlawanan liga dengan sembilan kemenangan, lapan keputusan seri dan 13 kekalahan untuk mengumpul 35 mata.

Mula beraksi bersama skuad Filipina pada 2013, Amani Aguinaldo telah menikmati 38 penampilan sepanjang menabur bakti buat skuad dikenali The Azkals itu.

Saingan T1 menyaksikan setiap pasukan bertanding dibenarkan mengisi tiga kuota pemain ASEAN dan selain daripada Amani Aguinaldo, Trat FC telah pun melengkapkan perpindahan penjaga gol utama skuad kebangsaan Singapura, Mohamad Izwan Mahbud pada pertengahan Disember lalu.