Sah kembali ke Liga M

PEMAIN naturalisasi skuad Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh mengambil keputusan untuk kembali beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) selepas kontraknya bersama kelab Thailand, Police Tero FC berakhir bulan lalu.

Sumareh yang berusia 27 tahun mengucapkan penghargaan kepada Police Tero yang memberinya peluang untuk kembali mendapatkan kecergasan selain merawat kecederaan yang dialami sejak menandatangani kontrak jangka pendek bermula September lepas.

“Apa yang saya harungi pada tahun lalu adalah cukup mencabar tetapi kini saya dalam mempersiapkan mental dan fizikal untuk mengharungi musim 2021 dengan mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia.

“Saya yakin pengalaman saya dalam Liga Thailand menerusi Police Tero FC akan memberi manfaat yang besar.

“Saya mahu mengambil ke­sempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan, barisan jurulatih dan rakan sepasukan di Police Tero kerana memberi peluang keemasan untuk beraksi di liga luar negara,” kata Sumareh dalam satu kenyataan semalam.

Pemain kelahiran Gambia itu sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas menamatkan kontrak bersama pasukan Pahang atas alasan tidak membayar gajinya selama beberapa bulan, sehingga memaksanya mengguna pakai klausa 8.7 yang terkandung dalam kontraknya.

Dalam klausa itu, mana-mana pemain yang tidak dibayar gaji selama sebulan atau lebih, boleh memohon untuk menamatkan kontrak dengan pasukan yang telah melanggar syarat kontrak.

Difahamkan, khidmat Sumareh diburu oleh beberapa pa­sukan utama Liga Super se­perti Johor Darul Ta’zim (JDT), Sela­ngor dan Kedah.