Sah Jadi Milik Perak FA

Striker kelahiran Brazil, Guilherme De Paula sah menjadi pemain import pasukan Perak selepas menandatangani kontrak dalam pertemuan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) baru-baru ini.

Berita mengenai pengambilan kuota import The Bos Gaurus itu diumumkan di laman Facebook Ahmad Faizal hari ini berserta dengan gambar pemain berusia 33 tahun berkenaan.

Menurut kenyataan itu, khidmat pemain yang membantu pasukan Kuala Lumpur atau The City Boys menjuarai Liga Perdana pada musim 2017 itu ditagih bagi membantu pasukan Perak menghadapi musim depan.

“Teka-teki mengenai kuota pemain import The Bos Gaurus untuk musim depan akhirnya terjawab. Striker kelahiran Brazil ini (De Paula) menandatangani kontrak untuk menyertai skuad The Bos Gaurus baru-baru ini, dalam pertemuan dengan MB Peja yang juga Presiden PAFA.

“De Paula menjadi watak penting membantu skuad The City Boys muncul juara Liga Perdana pada musim 2017 dengan meledakkan 27 gol.

“Semoga kehadiran De Paula akan menambah bisa jent3ra ser@ngan The Bos Gaurus!,” menurut kenyataan itu.

Ahmad Faizal pada 1 Disember lalu memaklumkan The Bos Gaurus dijangka mengambil pemain import baharu untuk mem4ntapkan pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurutnya, pada masa sama dua pemain import sedia ada akan dikekalkan antaranya adalah Leandro Dos Santos.

Musim lalu, Perak menggunakan empat pemain import iaitu Leandro, Hussein El Dor, Ronaldo Henrique Silva (Ronaldo) dan Raianderson Da Costa Morais (Careca).

Difahamkan, selain Leandro, seorang lagi yang dikekalkan ialah Careca.