Safiq Rahim Berpuas Hati Dengan Penjelasan

MELAKA: Kapten pasukan Liga Super Melaka Safiq Rahim berpuas hati dengan penjelasan pengurusan pasukan skuad berkenaan berkaitan tunggakan gaji pemain pasukan terbabit.

Katanya pemain jelas memahami perubahan tampuk kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) dan perbincangan penyelesaian tunggakan dua bulan gaji yang berlangsung hari ini di Wisma MUSA dalam situasi memuaskan.

Menurutnya, pemain juga bersetuju bagi pemotongan gaji berikutan wabak Covid -19 yang melanda seluruh dunia yang turut membabitkan persatuan sukan tempatan malah antarabangsa.

“Bagaimanapun, pemotongan berkenaan bukan membabitkan dua bulan tunggakan iaitu Februari dan Mac yang dipersetujui pengurusan pasukan.

“Potongan dijadualkan bemula pada gaji April yang dipersetujui namun jumlah peratus potongan belum di putuskan setakat ini,” kata Safiq.

Menurutnya, dia dan rakan sepasukan juga menyokong penuh kesudian Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali menerajui kepimpinan persatuan kira-kira dua minggu lalu.

Malah kesediaannya memberi sinar buat persatuan dan pasukan dalam misi meraih kejayaan lebih gemilang.

Sementara itu, Timbalan Presiden MUSA Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pertemuan dengan 11 pemain serta pegawai termasuk pengendali Zainal Abidin Hassan berlangsung dengan positif dan harmoni.

Menurut Yusoff, baki pemain termasuk import akan diadakan esok dan pada dasarnya semua pemain sudah bersetuju dengan penjelasan dan perbincangan berkaitan bayaran tunggakan gaji dan potongan gaji akibat Covid -19.

Yusoff berkata, tunggakan sebulan gaji dijangka dilunaskan minggu hadapan kepada pemain skuad berkenaan.

Keterangan gambarPix 1- Safiq .. puas hati komitmen MUSA.FOTO NAZRI ABU BAKAR