Safee Sali Bakal kembali menyarung jersi negara ?

BEKAS peny3rang Harimau Malaya, Safee Sali menyuarakan hasrat untuk kembali menyarung jersi negara dan namanya disenaraikan dalam kem latihan tidak lama lagi.

Safee, 36, yang pernah menggegarkan rantau ini dengan muncul penjaring terbanyak Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) pada 2010 selain membantu negara menjulang mahkota kejuaraan buat pertama kali masih aktif beraksi dalam saingan Liga Malaysia bersama Petaling Jaya City (PJ City).

Malah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, dia tetap gigih menjalani latihan di rumah dan bersedia untuk membantu PJ City sebaik liga domestik bersambung kembali.

Menerusi ciapan di Facebook miliknya, bekas pemain Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui berharap dapat memikat hati pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk tugasan antarabangsa selepas ini.

“Harap-harap dapatlah kena panggil untuk Harimau Malaya satu hari nanti,” katanya yang pernah berkelana di Liga Indonesia beraksi buat kelab Pelita Jaya pada 2011.

Untuk rekod, sepanjang semusim tonggak kelahiran Kajang, Selangor itu di bumi seberang menyaksikan dia meledak 27 gol dalam 42 penampilan sebelum dipinjamkan ke JDT pada 2013 dan seterusnya mengikat kontrak selama tiga musim dengan skuad Harimau Selatan itu dari 2014-2017.

Sekiranya Cheng Hoe memanggil semula peny3rang berpengalaman itu, sudah tentu Safee perlu bersaing sengit dengan beberapa peny3rang muda seperti Syafiq Ahmad, Muhammad Shahrel Fikri, Safawi Rasid serta bekas rakan segandingannya ketika 2010, Norshahrul Idlan Talaha.

Bukan saja pemain tempatan, malah dia yang digelar Super10 juga perlu bersaing dengan dua tonggak naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi di jentera depan.

Berdasarkan jadual skuad kebangsaan, anak buah Cheng Hoe bakal mengharungi dua tugasan antarabangsa penghujung tahun ini iaitu Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober ini dan Piala AFF, November depan.