Safawi Sangat Mengagumkan – Jamie Redknapp

Bekas kapten Liverpool, Jamie Redknapp berada di Kuala Lumpur semalam untuk menghadiri majlis pelancaran Cadbury FC musim ketiga dengan penampilan eksklusif trofi EPL di TESCO Kepong.

Malah, beliau sempat ditanya oleh para wartawan mengenai pendapatnya tentang bintang muda Malaysia, Safawi Rasid. Memetik laporan daripada News Strait Times, Redknapp menyifatkan Safawi mempunyai gaya permainan mirip bintang skuad The Reds, Mohamed Salah.

“Safawi mempunyai kelebihan kaki kiri yang unik seperti penyerang Liverpool, Mo Salah. Dia berani mengelecek pemain lawan.

“Saya sudah menonton video YouTube mengenai perlawanan yang melibatkan Safawi dan prestasinya sangat mengagumkan. Dia patut cuba nasib di Eropah kerana dia mempunyai potensi untuk menjadi bintang,” katanya.

Redknapp turut menjadikan pemain muda Jepun, Takumi Minamino sebagai contoh pemain asia yang berani mencabar diri untuk mencuba nasib di eropah dengan menyertai Red Bull Salzburg di liga Austria sebelum dilamar Liverpool Disember lalu.

“Namun, Safawi perlu mempunyai keinginan untuk pergi ke luar negara. Kadang-kadang, ia menjadi beruntung seperti bagaimana bintang Jepun Takumi Minamino memperoleh kontrak dengan juara Austria Red Bull Salzburg sebelum menyertai Liverpool pada bulan Disember,” jelasnya.

sumber: vocketfc

Mengulas mengenai kemasukan pemain naturalisasi dalam skuad Harimau Malaya, Redknapp menyifatkan langkah tersebut boleh meningkatkan persaingan di antara pemain tempatan dan mendorong mereka meningkatkan kualiti permainan masing-masing.

“Kita kena lihat ia dari sudut pandang yang luas. Sekiranya kehadiran pemain naturalisasi boleh meningkatkan pasukan serta menaikkan persaingan antara pemain tempatan dan luar, apa salahnya dan Safawi adalah contoh di mana dia boleh bersaing mencuri tempat dengan pemain naturalisasi,” kata bekas pemain England itu.