Safawi Mengatasi Pemain Bertaraf Bintang

KUALA LUMPUR: Ledakan menarik penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rasid ketika menentang Shandong Luneng tahun lalu mendapat undian tertinggi sebagai gol lencongan terbaik sepanjang Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Berdasarkan undian peminat di laman web Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang ditutup lewat petang hari ini, jaringan Safawi mengatasi empat calon lain selepas menerima 50 peratus undian daripada 159,502 pengundi.

Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu menerima cabaran sengit daripada pemain pasukan Esteghlal, Mame Thiam yang menerima 48 peratus daripada jumlah keseluruhan undian.

Lebih menarik, Safawi turut mengatasi bekas bintang Chelsea, Oscar dari Shanghai SIPG yang hanya mendapat satu peratus undian.

Turut menerima undian sama seperti Oscar adalah Nam Tae-hee dari pasukan Lekhwiya dan Serginho yang mewakili Kashima Antlers.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Safawi yang juga tonggak utama skuad Harimau Malaya mengharumkan nama Malaysia dan JDT di kejohanan tertinggi Asia.

Jaringan sepakan lencong dari kaki kiri yang dihasilkan pemain berusia 22 tahun terbabit pada 9 April 2019 itu juga sebelum ini sudah diundi sebagai jaringan kedua terbaik saingan ACL musim lalu.