Sabah FC waspada menerima kunjungan Melaka United

Kota Kinabalu: Ketua jurulatih Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto mengingatkan anak didiknya supaya tidak terlebih yakin apabila melayan kunjungan Melaka United dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam esok.

Sebaliknya, legenda Indonesia itu mahu pemain terus bekerja keras dan bermain seperti yang dirancang bagi memastikan mereka tidak berputih mata di gelanggang sendiri.

“Selepas kemenangan ke atas Perak FC tempoh hari, pemain semakin bersemangat, namun, saya tidak mahu mereka terlebih yakin.

“Kami juga tidak memandang mudah cabaran Melaka United walaupun sebelum ini kita mencatat seri ketika bermain di gelanggang mereka, setiap pasukan dalam Liga Super mempunyai kekuatan tersendiri sebab itu apa yang penting pemain kerja keras di atas padang dan mengikut ‘game plan’ yang kita buat,” katanya.

Kurniawan berkata, persiapan pasukannya bagi menghadapi aksi esok juga berjalan lancar dengan kesemua pemain bersedia untuk beraksi.

Katanya lagi, kesebelasan utama Sabah FC masih belum diputuskan namun beliau yakin mana-mana pemain yang diberi peluang akan mampu menggalas tanggungjawab diberikan.

Sementara itu, beliau berkata, sasaran Sabah FC untuk perlawanan esok sudah pastinya mengutip mata penuh, lebih-lebih lagi mereka beraksi di gelanggang sendiri.

Katanya, pasukan itu perlu terus mengutip seberapa banyak mata yang boleh bagi membolehkan mereka berada di kedudukan lebih baik.

sumber:HM

Selepas pusingan pertama Liga Super, Sabah FC kini berada di kedudukan kelapan dengan 13 mata hasil tiga kemenangan, empat seri dan empat kekalahan.