Sabah FC dianggap boleh menjadi ‘bom jangka’ dalam saingan Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Pasukan Sabah FC dianggap boleh menjadi ‘bom jangka’ dalam saingan Piala Malaysia walaupun prestasi mereka di pentas Liga Super kurang menyerlah.

Ini selepas kehadiran jurulatih berstatus kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee yang dijangka mampu meletakkan Sabah sebagai pasukan tampil dengan persembahan berbeza dalam kancah Piala Malaysia bermula Ahad ini.

Jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan turut percaya skuad Sang Badak akan bertukar taktikal atau berlaku perubahan dari segi posisi pemain.

“Selepas diambil alih Kim Swee, semua pasukan tak tahu bagaimana permainan Sabah selepas ini. Orang kata itu macam ‘bom jangka’, kita tak boleh nak ramalkan.

“Jadi Sabah salah satu pasukan yang saya tengok akan mengiringi JDT (ke suku akhir dari Kumpulan D) walaupun mungkin perebutan naib juara kumpulan dengan PJ City dijangka sengit,” katanya.

Sabah menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan kesembilan dengan mengumpul 19 mata selepas merekodkan empat kemenangan, tujuh seri dan 11 kali tewas.

Justeru harapan tinggi sudah pasti diletakkan ke atas bahu Kim Swee bagi membawa sinar buat skuad itu dalam kancah Piala Malaysia yang akan menyambut ulang tahun ke-100 musim ini.

Sabah akan memulakan perjuangan mereka dalam Kumpulan D menentang PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 27 September. Selain PJ City, anak buah Kim Swee akan berdepan cabaran juara bertahan Piala Malaysia, JDT (Johor Darul Ta’zim) dan pasukan tangga keempat Liga Perdana dalam Kumpulan D.
-BH