Ruud Gullit calon terbaru untuk melatih skuad kebangsaan

Ruud Gullit kini menjadi calon terbaru untuk melatih skuad kebangsaan Indonesia selain daripada Luis Milla dan Shin Tae-Yong.

Sebelum ini jawatan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Indonesia kosong selepas pemecatan Simon McMenemy. Malah pasukan itu dibimbing oleh pengendali interim, Yeyen Tumena ketika tewas 2-0 kepada Malaysia di perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Bukit Jalil pertengahan November lalu.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan kepada pemberita selepas perlawanan bola sepak Sukan SEA membabitkan pasukan Indonesia dan Brunei semalam.

Menurut beliau, Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha sudah berusaha menghubungi bekas pengendali Chelsea itu namun belum mendapat sebarang jawapan.

“Belum lagi ada jawapan dari dia. Kita sudah meminta Setiausaha Agung, Ratu Tisha untuk berkomunikasi dengan Ruud Gullit di Belanda minggu lalu.

“Belum ada kepastian sama ada ia atau tidak,” ujar Iriawan.

Menurut laporan kompas.com, PSSI akan menunggu jawapan daripada Gullit sehingga penghujung Disember ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.