‘Rumah Harimau Malaya’

Perbincangan mengenai kerjasama dan lanjutan perjanjian antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berkaitan ‘Rumah Harimau Malaya’ akan diumumkan dalam masa terdekat.

FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan satu perjumpaan antara presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes diadakan semalam bagi membincangkan perkara berkenaan.

“FAM sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan PSM yang mana lanjutan perjanjian terbabit akan terus menaikkan imej bola sepak negara.

“PSM membuktikan mereka sentiasa tampil ke hadapan dalam mengambil inisiatif membantu bola sepak di peringkat kebangsaan,” menurut kenyataan itu.

Pada pertemuan itu juga, Hamidin bersama Fernandes berkongsi idea mengenai cara terbaik dalam memastikan kelangsungan bola sepak dalam situasi tidak menentu ketika ini.

Mengikut perjanjian FAM-PSM sehingga 31 Disember 2020, Stadium Nasional kini menjadi gelanggang sendiri skuad bola sepak kebangsaan Harimau Malaya bagi mana-mana pertandingan atau kejohanan rasmi, sekali gus diiktiraf sebagai ‘Rumah Harimau Malaya’.

FAM dan PSM menandatangani perjanjian berkenaan pada Ogos tahun lepas.

Sumber – Sinar Harian