Rowley ‘asah kuku’

PEMAIN kacukan Malaysia-Australia David Rowley mengidam aksi yang lebih ‘menyengat’ bagi membantu pasukan Kedah menghadapi saingan laluan ke peringkat Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Liga Malaysia (Liga M) musim 2020.

Dua gol dalam aksi Piala Malaysia musim 2019 oleh pemain tengah berusia 29 tahun itu turut menjadi motivasi dalam usaha meningkatkan tahap permainan diharapkannya pada musim depan.

“Sebagai pemain, pastinya saya mahu memberi sasaran lebih tinggi dan berazam mahu membantu pasukan memenangi seberapa banyak perlawanan yang akan dilalui.

“Untuk merealisasi impian, saya fokus untuk meningkatkan tahap kecergasan dan mahukan aksi yang lebih mantap.

“Saya serta rakan sepasukan kini mengikuti perancangan latihan disediakan barisan kejurulatihan yang diketuai oleh ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak,” katanya.

Rowley optimis persiapan perlawanan persahabatan pra-musim diatur oleh pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menjadi medan terbaik buat dirinya dan semua pemain meningkatkan keupayaan menghadapi cabaran ke saingan ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) bermula Januari depan.