Ranking FIFA , Malaysia Muncul Pasukan Keempat Paling Banyak

KUALA LUMPUR: Skuad negara muncul pasukan keempat paling banyak menghimpun mata sepanjang pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 sebelum ia terpaksa ditangguhkan susulan pand3mik C0VID-19, Mac lalu.

Menerusi tiga kemenangan, anak buah Tan Cheng Hoe mengutip 27.5 mata bagi kutipan mata ranking Persekutuan Bolasepak Malaysia (FIFA) dan ketika ini menghuni tangga kedua Kumpulan G, ketinggalan dua mata belakang pendahulu, Vietnam yang mengutip 11 mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Menerusi laman Football Ranking, mata terbabit disumbangkan menerusi kemenangan 3-2 ke atas Indonesia yang membolehkan skuad Malaysia mengutip 12.51 mata diikuti kemenangan 2-1 ke atas Thailand (+16.67 mata) dan satu lagi kemenangan 2-0 ke atas Indonesia (+11.21) pada tahun lalu.

Bagaimanapun, kekalahan tipis 2-1 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyebabkan Malaysia kehilangan 5.31 mata selain turut kehilangan 7.63 mata apabila tewas 1-0 di tangan Vietnam.

Bagaimanapun, dengan kedudukan kedua ketika ini, skuad negara tampak berpeluang cerah untuk mara ke peringkat seterusnya namun perlu meraih keputusan positif dalam baki tiga lagi aksi yang akan berlangsung pada Oktober dan November ini

Tarikh baharu yang dicadangkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini menyaksikan Malaysia akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober sebelum bertemu Vietnam di laman sendiri lima hari selepas itu.

Aksi terakhir pasukan negara dalam Kumpulan G adalah pada 17 November di Bangkok untuk berdepan Thailand.

Sebagai rekod, pasukan paling banyak mengutip mata untuk ranking FIFA sepanjang pusingan kedua kempen kelayakan setakat ini adalah Syria (43.3 mata), diikuti Kuwait (37.2 mata) dan Bahrain (29.5 mata).