Ramalan Juara, 4 Teratas dan Pasukan Tersingkir

Setelah sekian lama menanti, akhirnya saingan Liga Super kembali menemui para peminat bola sepak tempatan dan bakal disajikan dengan perlawanan pembukaan tirai di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah pada malam ini.

Kini saingan tertinggi bola sepak tanah air kembali dengan wajah baharu apabila dijenamakan sebagai CIMB Liga Super Malaysia 2020 dimana 12 pasukan bertanding untuk merebut gelaran juara.

Sebelum berlangsungnya perlawanan pertama pada jam 9 malam ini, FOX Sports ingin menyajikan ramalan pasukan juara, empat pasukan teratas dan dua pasukan yang tersingkir untuk saingan musim ini. 

Juara: Johor Darul Ta’zim (JDT)

Pemain Tumpuan: Diogo Luis Santo

Selaku juara bertahan, kami meramalkan JDT mempertahankan kejuaraan pada musim ini sekaligus bakal mencipta rekod baharu iaitu memenangi 7 kejuaraan liga secara berturut-turut.

JDT dilihat masih mengekalkan keseluruhan skuad yang merangkul kejuaraan musim 2019 lalu disamping membuat penambahan dua pemain baharu iaitu Liridon Krasniqi (midfielder) dan Matthew Davies (pertahanan). Tidak dilupakan pemain tengah senior, Natxo Insa kembali pulih dan ianya pasti memberikan kelebihan daripada sudut squad depth

Selain itu, JDT juga mempersiapkan pasukannya dengan mengadakan kempen pramusim di Dubai dimana mereka bertemu pasukan-pasukan yang jauh lebih handal daripadanya. Ia memastikan pemain-pemain JDT bukan sahaja dipersiapkan dengan cabaran fizikal dan taktikal malah turut disertakan dengan persiapan mental.

Tempat Ke-2: Kedah

Pemain Tumpuan: Tchetche Kipre

Pasukan dari utara semenanjung tanah air menjadi favorite kami di tempat ke-2 dan bakal memberikan saingan kepada JDT pada musim ini. Skuad yang mendapat julukan Helang Merah ini mengambil tindakan berani dengan melepaskan penjaring terbanyak Liga Malaysia 2019, Fernando Rodriguez yang mencetak sebanyak 21 gol musim lalu. Dan pelepasan Fernando digantikan dengan dua penyerang berbisa dari Afrika iaitu Tchetche Kipre (Ivory Coast) dan Kpah Sherman (Liberia). 

Tidak cukup dengan itu, skuad kendalian jurulatih dari Singapura ini turut mendapatkan kapten Felda United, Hadin Azman. Ketiga-tiga pemain ini telah menunjukkan ‘sesuatu’ dalam kempen pramusim dan saingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC yang lalu dan kami merasakan ianya bakal menjadi trio yang perlu diberikan tumpuan oleh 11 pasukan yang lain. 

Tampil lebih garang di bahagian serangan, barangkali ramai yang terlepas pandang akan ‘upgrading’ dilakukan Kedah di benteng pertahanan. Walaupun telah mempunyai gandingan mantap Shakir Hamzah dan Renan Alves di posisi pertahanan tengah, Kedah bertindak menandatangani pemain kebangsaan, Irfan Zakaria dan pemain muda berbakat Zulkhairi Zulkeply serta mendapatkan penjaga gol yang sedang dalam prestasi terbaik, Shahril Saari daripada PDRM. Bahagian pertahanan ini dijangka menjadi faktor penentu kepada Kedah samada mampu menjadi pencabar kejuaraan ataupun tidak pada musim ini.

Tempat Ke-3: Selangor

Pemain Tumpuan: Brendan Gan

Selangor antara pasukan yang agak sibuk sepanjang pramusim ini. Skuad yang mendapat julukan Gergasi Merah ini turut tidak ketinggalan untuk mendapatkan pemain-pemain baharu bagi menambahkan kualiti di beberapa department mereka.

Tidak banyak perubahan berlaku di bahagian serangan namun Selangor begitu agresif mempertingkatkan bahagian tengah dan pertahanan mereka. Mereka mendapatkan Brendan Gan, Safuwan Baharudin, Rodney Celvin Akwesivie dan Nicolas Swirad dan ianya merupakan satu penambahan baik kepada pemain sedia ada seperti Sandro Mendonca, Halim Saari, Taylor Regan, Syahmi Safari dan K. Sarkunan.

Jelas mereka sudah mempunyai skuad yang agak baik namun mereka harus menunjukkan konsistensi sekiranya mahu pergi lebih jauh pada saingan musim ini. Selain daripada faktor ini, kehadiran Ifedayo Olusegun sebagai satu-satunya centre forward disamping isu kecergasan melibatkan Rufino Segovia menjadikan kami meramalkan Selangor berada di kedudukan ke-3.

Tempat Ke-4: Terengganu F

Pemain Tumpuan: Dominique Da Sylva

Terengganu FC menghadapi musim yang serba tidak menjadi pada musim lalu sehingga ketua jurulatihnya, Irfan Bakti meletakkan jawatan dan terpaksa akur menamatkan saingan di tempat ke-7 hasil bimbingan jurulatih interim, Nafuzi Zain.

Bagaimanapun, Terengganu FC bagaikan mahu menebus kembali episod duka musim lalu dan mereka menjadi pasukan terawal melakukan persiapan bermula dengan menyertai kejohanan jemputan di Bangladesh pada oktober tahun lalu dan diikuti dengan sekitar 10 siri perlawanan pramusim di dalam dan luar negara khusus untuk mempersiapkan pasukan dari segi fizikal dan mental selain daripada menerapkan corak permainan penguasaan bola dan hantaran pendek seperti diingini oleh Nafuzi.

Mereka turut melakukan kejutan apabila bukan sahaja menandatangani beberapa pemain seperti Faris Ramli, Dominique da Sylva, Babacar Diallo dan Arif Fadzilah untuk menggantikan pemain yang meninggalkan pasukan tetapi turut mengambil beberapa pemain berpengalaman dalam saingan tempatan seperti Faiz Nasir, Darren Lok, Stuart Wark, Nasir Basharudin dan D. Saarvindran khusus untuk memastikan squad depth yang baik di segenap posisi pasukan. 

Tersingkir Tempat Ke-11: UITM FC

Pemain Tumpuan: Muhammad Faizal Arif

Pendatang baharu Liga Super 2020 ini merupakan pasukan berstatus universiti yang pertama berjaya menempatkan diri dalam saingan tertinggi bola sepak tempatan. Musim lalu, mereka menamatkan saingan di tempat ke-5 Liga Premier 2019 dan diberikan ‘kenaikan pangkat’ setelah PKNS FC dijadikan reserve team buat Selangor.

Dimbimbing oleh jurulatih yang mempunyai pengalam melatih skuad bawah 23 tahun negara, Frank Bernhardt namun dibarisi dengan majoriti pemain-pemain muda dan ‘kosong’ pengalaman dalam aksi Liga Super bakal menjadi batu penghalang buat UITM FC untuk kekal dalam saingan Liga Super 2021.

Tersingkir Tempat Ke-12: PDRM FA

Pemain Tumpuan: Antonio German

PDRM bukanlah calang-calang pasukan pada saingan Liga Premier musim lalu tetapi mereka sedikit ‘tempang’ untuk aksi Liga Super musim ini apabila beberapa pemain tonggak seperti Shahril Saari, Gopi Rizqi, Uche Agba, Stuart Wark berhijrah daripada pasukan ini.

Jurulatih yang membawa mereka meraih tempat ke-3 saingan Liga Premier musim lalu, E. Elavarasan turut tidak bersama mereka musim ini dan digantikan dengan jurulatih baharu, Ishak Kunju.

Tetapi yang lebih memeritkan mereka pastinya pengumuman berkenaan PDRM FA terpaksa memulakan saingan dengan -3 mata kerana dihukum oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ekoran masalah hutang yang membelenggu skuad The Cops itu.