Ramalan Arsene Wenger Kini Menjadi Kenyataan

Muncul sebagai salah seorang dari 14 pemain yang terpilih dari 7,000 calon seluruh Vietnam pada tahun 2007, Nguyen Tuan Anh berjaya diterima masuk sebagai batch pertama menyertai akademi HAGL- Arsenal JMG.

3 tahun kemudian, Nguyen Tuan Anh bersama Nguyen Cong Phuong terpilih untuk menyertai latihan di Mali dimana semua pemain terbaik akademi JMG seluruh dunia dikumpulkan. Disini beliau telah berjaya memikat pengarah akademi iaitu Jean-Marc Guillou .

Pada tahun 2010, 4 pemain dari akademi HAGL-Arsenal JMG iaitu Nguyen Tuan Anh, Nguyen Cong Phuong, Luong Xuan Truong dan Trần Hữu Đông Triều telah dijemput untuk menyertai latihan bersama skuad Arsenal U17.

Performance Supervisor Arsenal ketika itu, Steve Morrow dalam satu suratnya menyatakan bahawa Arsene Wenger kagum dengan pemain-pemain itu selepas berjaya menewaskan pasukan Arsenal U17.

Selepas tamat sesi latihan tersebut, Arsene Wenger secara peribadi cukup tertarik dengan gaya permainan Nguyen Tuan Anh sehingga beliau sendiri memperkenalkan pemain muda Vietnam itu kepada sebuah kelab Greece.

“Nguyen Tuan Anh adalah salah seorang pemain terbaik pernah saya saksikan. Dia akan muncul sebagai tonggak bola sepak Vietnam suatu hari nanti, dan juga membantu mereka keperingkat dunia.”

Malang untuk beliau kerana terlepas peluang untuk menyertai sesi percubaan di Greece kerana mengalami keced3raan ligamen lutut yang serius. Pembedahan yang dilakukan di Paris bersama pakar rawatan keced3raan sukan itu telah menyebabkan beliau tersisih dari bola sepak selama 6 bulan.

Beliau memang dilihat sebagai pemain yang memiliki bakat yang mampu membawa Vietnam ke tahap lebih baik, namun selepas menyaksikan beliau sekali lagi ‘tewas’ kepada keced3raan ketika beraksi dengan kelab J.League 2 – Yokohama FC, tiada siapa yang mampu meramal beliau mampu kembali menemui prestasi asal.

Tahun 2019, ketika Nguyen Cong Phuong dan Luong Xuan Truong beraksi diluar negara serta Viet Hung dan Ngoc Quang yang bergelut dengan prestasi hambar,  Nguyen Tuan Anh kembali menemui rentak prestasi asal beliau bersama Hoang Anh Gia Lai (HAGL).

Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo pada masa yang sama memang mencari ‘missing puzzle‘ dalam formasi taktikal 3-4-3 untuk cuba ‘conquer‘ rantau Asia Tenggara dan ketika itu Nguyen Tuan Anh timbul. 2 perlawanan ketika mereka bertemu UAE dan Thailand di Stadium My Dinh sudah cukup untuk beliau buktikan kepada semua – dia sudah kembali.

Prestasi yang dipamerkan kapten HAGL itu kini sudah meniti bibir para peminat dan mungkin kata-kata Arsene Wenger 7 tahun lalu sudah mulai menjadi kenyataan.