Ramadhan Saifullah sudah layak

Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui Ramadhan Saifullah Usman mempunyai potensi besar untuk mewakili negara pada masa akan datang.

Walaupun baru berusia 19 tahun, Ramadhan cukup menyerlah apabila menjaringkan empat gol bersama JDT pada musim ini.

Ini termasuk dua gol yang dijaringkan ketika membantu JDT menewaskan Selangor 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

“Ramadhan memiliki prospek besar untuk lebih menyerlah dalam arena bola sepak negara pada masa depan,” katanya kepada Sinar Harian.

“Dia tidak hanya memiliki sentuhan penyudah yang tajam tetapi juga kepantasan semasa beraksi di padang.”

Satu lagi perkara yang mengkagumkan Cheng Hoe adalah karakter yang ditonjolkan oleh Ramadhan.

“Dia memiliki keyakinan yang tinggi dalam diri untuk mengatasi lawan di padang walaupun usianya masih dalam lingkungan 20-an.

“Saya berharap akan ada lebih ramai lagi pemain berkarakter seperti Ramadhan Saifullah yang sekali gus akan memberi lebih pilihan kepada jurulatih merekrut mereka dalam skuad kebangsaan.”