Ragini berang Kelantan ‘lemau’

KOTA BHARU: Biarpun berjaya mengutip tiga mata, pe­ngendali Kelantan FC, Marco Ragini berang dengan aksi pemainnya ketika menang tipis 2-1 ke atas skuad Projek FAM-MSN dalam Liga Perdana ­kelmarin.

Katanya, pemain Kelantan beraksi buruk dan banyak melakukan kesilapan, terma­suk taktikal sepanjang perlawanan.

Menurutnya, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan kemenangan itu kecuali menarik nafas lega berjaya meraih tiga mata.

“Selepas pelawat mendapatkan gol pertama, mereka telah mengubah corak dengan mengecilkan pergerakan.

“Namun barisan pemain saya seolah-olah hilang punca apabila gagal memanfaatkan peluang sebelum meraihnya pada minit-minit akhir.

“Saya mahu pemain terus berusaha dan memberikan aksi yang lebih baik pada perlawanan berikutnya nanti,” katanya.

Dalam perlawanan itu, The Red Warrior (TRW) nyaris dimalukan skuad Projek FAM-MSN sebelum bangkit melakar kemenangan menerusi jari­ngan lewat Christos Intzidis dan Ismail Ibrahim pada minit ke-83 serta 90.

Terdahulu pada minit ke-54 pelawat ‘menghadiahkan’ mimpi ngeri buat tuan rumah apabila mel3dak jaringan pertama menerusi Azhad Harraz Arman.