PJ City sekali lagi buktikan pemain tempatan juga berkualiti dan boleh beraksi baik tanpa import

Selepas berjaya mempertahankan kedudukan dalam saingan liga utama, pengurusan skuad Petaling Jaya (PJ) City FC tidak bercadang membuat perubahan dengan mendapatkan khidmat tenaga import, bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Sebaliknya, mereka membuat keputusan untuk terus kekal menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya seperti mana dipraktikkan pada musim ini.

Pengurus PJ City, K Rajendran menegaskan bahawa pihaknya tiada perancangan untuk mendapatkan khidmat pemain import, walaupun menjangkakan saingan Liga M musim depan lebih mencabar.

“Setakat ini, tiada dalam perancangan kami untuk membuat perubahan atau menggunakan khidmat pemain import sebaliknya kami kekal dengan pendirian untuk terus memanfaatkan tenaga tempatan bagi menggalas cabaran pasukan.

“Dari segi persiapan untuk musim depan, memang ada beberapa pemain baharu yang dibawa masuk dalam pasukan antaranya termasuk dari Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Selangor FC dan Melaka United FC.

“Sehingga kini, kita sudah menandatangani kontrak sekitar enam pemain baharu yang menyertai PJ City, namun saya tidak dapat umumkan nama pemain terbabit kerana kami merancang mengumumkannya dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Skuad The Phoenix menamatkan saingan di tangga ketujuh Liga Super dan turut memberi tentangan sengit dalam kempen Piala Malaysia.

Namun skuad bimbingan P Maniam itu gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas berada di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah dalam Kumpulan D.

Rajendran berkata, skuad yang dianggotai 100 peratus pemain tempatan itu telah membuktikan kemampuan sebenar dan pihaknya yakin situasi serupa boleh diteruskan untuk musim depan.

“Selama kempen liga dan Piala Malaysia berlangsung, PJ City menunjukkan keputusan serta prestasi baik dalam setiap perlawanan dengan khidmat pemain tempatan sekali gus berjaya menangkis pandangan sesetengah pihak.

“Ini menunjukkan pemain tempatan juga berkualiti dan boleh beraksi baik,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mahu terus mempromosikan bakat tempatan dan memberi ruang sepenuhnya kepada mereka terutama bakat muda menunjukkan kebolehan.

Katanya, ini terbukti apabila tiga pemain PJ City iaitu Darren Lok, Kalamullah Al Hafiz (Mat Rowi) dan Kogileswaran dipanggil dalam skuad kebangsaan.

sumber : arena metro

“Kami berharap dapat terus mengasah bakat mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya, yang memaklumkan usaha melengkapkan senarai 30 pemain dijangka dapat dimuktamadkan tidak lama lagi.