PJ City lebur impian

Shah Alam: Harapan untuk melihat UiTM FC beraksi di pentas Asia musim depan musnah apabila Petaling Jaya City (PJ City) menundukkan pasukan berstatus universiti itu 4-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Mini UiTM Shah Alam, sebentar tadi.

Skuad The Lion Troops yang berpeluang merebut tempat kedua dalam saingan liga bakal meraih tiket ke Piala AFC seandainya menamatkan persaingan di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sudah dinobatkan selaku juara musim ini.

Bagaimanapun, PJ City lebih bertuah apabila bukan saja meraih kemenangan, malah pasukan itu turut memadamkan kemarau kemenangan sejak tujuh perlawanan lalu dengan kali terakhir menewaskan Pahang 3-1 pada 6 Mac lalu.

UiTM terlebih dulu mendahului pada babak pertama menerusi sepakan penalti Gustavo Almeida di minit ke-45.

Ketinggalan 1-0 langsung tidak mematahkan semangat anak buah K Devan apabila bangkit mengikat kedudukan sebaik separuh masa kedua bermula menerusi sentuhan Barathkumar Ramaloo.

Kejayaan mengikat kedudukan 1-1 itu jelas menaikkan motivasi pemain PJ City dan mereka berjaya menambah gol kedua selang dua minit kemudian dengan kali ini Anawin Jujee mencetak nama selaku penjaring minit ke-47.

Bekas pemain Pahang, R Kogileswaran menambah gol ketiga buat PJ City pada minit ke-66 sebelum tuan rumah merapatkan jurang kepada 3-2 juga menerusi sepakan penalti Gustavo Almeida di minit 75.

Ketika UiTM rancak memburu gol penyamaan, pelawat sebaliknya bertambah selesa dengan gol keempat yang disempurnakan Washington Brandao pada minit ke-79.

Keputusan itu kekal hingga wisel penamat sekali gus memberi kelegaan buat skuad The Phoenix untuk keluar dari zon penyingkiran.