Berita Gembira Yang Dinantikan

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui usaha Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican untuk memohon kebenaran latihan pasukan bola sepak diadakan secara berkontak penuh pada minggu depan merupakan petanda positif terutamanya buat skuad kebangsaan.

Beliau berkata, ia berita gembira yang begitu dinanti-nantikan oleh seluruh pemegang taruh bola sepak di negara ini selepas lebih tiga bulan sejak pelaksanaan PKP bermula 18 Mac 2020 ekoran pandemik COVID-19.

“Kebenaran untuk latihan secara kontak penuh akan membantu persiapan skuad B-19 kebangsaan kendalian Brad Maloney yang mana mereka juga dijadual memulakan kem latihan pusat mulai minggu depan bagi persiapan awal menghadapi Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

“Kami di pihak FAM ingin berterima kasih kepada Dato’ Sri Reezal Merican yang sentiasa prihatin dan mengambil berat mengenai industri bola sepak yang terpaksa dihentikan kerana COVID-19 sebelum ini yang mana pertemuan demi pertemuan telah diadakan sepanjang tempoh PKP bagi memastikan pada akhirnya, bola sepak dapat dimulakan kembali.

Bagi seluruh warga bola sepak di Malaysia, marilah kita sama-sama berdoa dan berharap agar pihak kerajaan bersetuju untuk memberikan kebenaran latihan secara kontak penuh bagi pasukan bola sepak dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

KBS akan membawa cadangan itu ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP pada minggu hadapan iaitu Khamis 9 Julai 2020, sekali gus memberi harapan untuk kemungkinan saingan CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 dapat disambung semula dengan lebih awal.