Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan tuduhan

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan tuduhan bahawa pihaknya tidak serius menangani masalah pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang masih belum menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataannya kepada Bernama menegaskan pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan pasukan terbabi, namun pihaknya tidak boleh bertindak terburu-buru kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan mengikut aspek perundangan.

“Kita tidak boleh memotong atau menyingkirkan mana-mana pasukan tanpa mengikut SOP yang dibenarkan. Ini pematuhan daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Apabila pelesenan kelab memberi lesen kepada setiap pasukan pada musim 2020 mengikut prosedur FAM dan pelesenan kelab yang sama dengan AFC dan FIFA, perlu mengikut pembayaran gaji sehingga 30 Jun depan atau enam bulan ke bawah (tempoh rayuan selepas tarikh akhir 30 Mac),” katanya lagi.

Hamidin turut menjelaskan pihak Pelesenan Kelab FAM (FIB) mempunyai kuasa selepas Liga-M bermula pada hujung Februari nanti. Sekiranya masih ada pasukan yang belum membayar tunggakan gaji pada bulan Julai atau Ogos, barulah tindakan keras bole diambil ke atas pasukan berkenaan.

Tambahnya lagi, SOP yang dimaksudkan juga membolehkan FAM atau MFL mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang didapati bersalah serta tidak menyelesaikan masalah dalam tempoh masa ditetapkan.

Beliau memberi contoh Melaka United yang telah mula membayar tunggakan gaji sehingga lesen diberikan dan pasukan tersebut dijangkan akan menyelesaikan segala hutang sehingga 30 Jun ini mengikut jadual pembayaran yang telah diatur.

FAM pula bertanggungjawab untuk menyemak segala dokumen rasmi melibatkan segala transaksi atau bukti pembayaran dan bukan sekadar ‘cakap mulut’ semata-mata.

“Pihak FIB adalah badan bebas dan antara kelab yang diberi amaran seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), MU dan Kelantan, jika masih gagal melaksanakan tunggakan gaji pemotongan mata akan bermula serta merta dengan pemotongan tiga mata dan kemudian enam mata seterusnya jika masih gagal membayar maka disingkirkan .

“Saya berjanji jika ada pasukan yang masih berdegil maka mereka akan dikeluarkan daripada saingan Liga-M. Itu janji saya. Sebagai badan pentadbir bola sepak kita mesti perlu adil kepada semua pihak iaitu kepada pemain, kelab dan juga peminat bola sepak,” katanya.