Perlu Dikekalkan

Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh akan memastikan pengurusan kelab itu mengekalkan pemain import dari Argentina, Manuel Hidalgo bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, ini kerana khidmat pemain berumur 22 tahun itu amat diperlukan berdasarkan kemampuan dan corak permainan yang dimiliki.

“Bagi saya Hidalgo sudah pasti akan dikekalkan dalam Sri Pahang FC musim depan dan sebagai jurulatih khidmatnya amat perlukan.

“Dengan prestasi dan komitmen yang dipersembahkan, harapan saya supaya pengurusan kelab mengekalkan Hidalgo,” katanya.

Musim ini, Hidalgo yang menyertai pasukan pada jendela perpindahan kedua membuktikan kehadirannya memberikan impak kepada pasukan terutama di bahagian tengah.

Justeru, skuad Tok Gajah perlu bertindak pantas bagi mengelak disambar pasukan lain.

Mengulas barisan pemain tempatan yang dilihat menyerlah musim ini, beliau berkata, antara pemain berkenaan ialah Baqiuddin Shamsudin dan Muhammad Syaahir Saiful Nizam.

Katanya, mereka membuktikan mampu memberi persembahan meyakinkan terutama bersaing dengan pemain yang lebih berpengalaman.

“Dengan prestasi itu saya percaya pada saingan Liga Malaysia musim depan, mereka akan lebih menyerlah dan lebih yakin dengan kemampuan,” katanya.