Perlawanan Pilihan Malaysia Menentang Liverpool Terpaksa Dibatalkan

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan pihaknya ada merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan diantara pasukan pilihan Malaysia menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

Namun ia tidak menjadi kenyataan susulan penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak bulan Februari lalu.

Perlawanan itu diadakan untuk memberi peluang kepada peminat bola sepak di Malaysia untuk melihat bintang kesayangan mereka beraksi didepan mata sendiri.

“Sebenarnya pasukan Liverpool akan bermain dengan kita (Malaysia) namun atas faktor Covid-19 tak jadi,” kata Hamidin di laman Facebook FAM menerusi ruangan ‘Anda Tanya, Presiden Jawab’.

Kali terakhir Liverpool beraksi di negara ialah pada tahun 2015. Ketika itu mereka menentang skuad pilihan Malaysia XI kendalian Dollah Salleh di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pasukan Malaysia XI turut diperkuatkan oleh 5 pemain import iaitu Patrick Ronaldinho, Zah Rahan Krangar, Thiago Aquino, Charles Souza dan Vincent Bikana. Perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Hamidin juga menjelaskan perlawanan persahabatan antarabangsa diantara skuad Harimau Malaya menentang pasukan yang berada di ranking FIFA 10 teratas dunia seperti Sepanyol, Brazil dan Argentina tidak mungkin berlaku kerana kedudukan ranking Malaysia yang agak rendah.

“Untuk melawan pasukan yang bertaraf ranking 10 teratas dunia, memang sukar kerana mereka akan memilih negara yang selevel dengan mereka.

“Pasalnya, ranking atau mata perlu diambil kira dan saya rasa buat masa ini sukar untuk melawan negara di ranking 10 atau 20 teratas,” tambahnya.

Skuad Harimau Malaya kini berada di kedudukan 154 dunia dan mempunyai peluang yang cerah untuk merebut tiket ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.