Perlantikan Pemangku Presiden SAFA

KOTA KINABALU – Ahli-ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) hari ini sebulat suara melantik Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai pemangku presiden baharu persatuan berkenaan.

Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi SAFA di sini, hari ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden SAFA Datuk Abdul Rahman Zakaria yang juga memangku jawatan presiden persatuan berkenaan sebelum ini.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Abdul Rahman berkata, pelantikan Bung Moktar dilakukan selepas perbincangan kedua-dua pihak dilakukan sebelum ini.

“Kita telah berjumpa dengan beliau (Bung Moktar) dan beliau bersetuju dilantik sebagai pemangku presiden sebelum dilantik secara sah sebagai Presiden SAFA dalam Mesyuarat Agung SAFA akan datang,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan Bung Moktar diyakini dapat membawa SAFA maju ke hadapan.

“Kita tahu beliau (Bung Moktar) mempunyai pengalaman kerana pernah menjadi penaung pasukan bola sepak Felcra FC beberapa tahun lepas,” tambahnya.

Diminta mengulas mengenai Sabah FC, Abdul Rahman berkata, Datuk Verdon Bahanda masih menjadi Ketua Pegawai Eksekutif pasukan berkenaan dan kerjasama itu berjalan lancar.

“Kita serahkan Verdon untuk mengurus Sabah FC dan kita SAFA mengurus di bahagian induk kerana sekiranya induk bermasalah pasukan Sabah FC juga akan bermasalah,” tambahnya.

Sumber : SH