Perkara Terbabit Sebenarnya Tidak Berlaku

PEMAIN muda yang beraksi di Amerika Syarikat Wan Kuzri Wan Kamal bukan digugurkan cuma perlu pulang ke pangkuan kelabnya sebagai antara perjanjian bersama sekali gus menepis dakwaan bahawa dia gagal memenuhi kriteria yang diletakkan barisan kejurulatihan Bawah 19 (B-19).

Pengurus skuad B-19 Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, ketika ini bertiup kencang di laman sosial yang mendakwa adik kepada Wan Kuzain itu ‘ditendang’ sekali gus tidak akan hadir pada sesi latihan fasa kedua pada 3 Ogos nanti.

Beliau berkata, perkara terbabit sebenarnya tidak berlaku dan setakat ini jurulatih B-19 Brad Maloney belum lagi membuat pemilihan barisan pemain untuk dibawa ke Uzbekistan, Oktober depan.

“Wan Kuzri tidak lepas sesi pemilihan adalah tidak benar sama sekali kerana dia perlu pulang ke Amerika Syarikat berikutan sesi latihan fasa pertama tamat.

“Menerusi perjanjian bersama Akademi Bolasepak St Louis, jika latihan fasa pertama tamat, Wan Kuzri perlu pulang ke Amerika Syarikat dan atas sebab tertentu terlepas menyertai latihan pada 3 Ogos depan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan pemain muda terbabit l perlu pulang ke pangkuan kelabnya Akademi Bolasepak St Louis hujung bulan ini sekali gus mungkin terlepas menyertai latihan fasa kedua skuad B-19 pada 3 Ogos depan.

Pengendali skuad B-19 Brad Maloney berkata, menerusi perjanjian bersama kelab yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu Wan Kuzri perlu pulang ke Akademi Bolasepak St Louis sebaik latihan fasa pertama tamat.

Beliau berkata, berdasarkan situasi semasa, pemain berkenaan kemungkinan berhadapan dengan pelbagai ‘halangan’ untuk menyertai latihan fasa kedua apabila perlu menjalani kuarantin selain beberapa masalah lain berikutan penularan Covid-10.

Situasi berkenaan menyebabkan timbul spekulasi di media sosial bahawa Wan Kuzri menerima nasib seperti abangnya terlepas untuk menyertai skuad negara namun kali ini dengan alasan tidak berjaya memikat barisan kejurulatihan skuad B-19