Perkara Ini Membimbangkan Jurulatih Negara Tan Cheng Hoe

Boleh dikatakan hampir setahun skuad kebangsaan tidak beraksi, dan perkara ini membimbangkan jurulatih negara Tan Cheng Hoe.

Apa yang lebih merisaukan apabila jadual Liga Malaysia dijangka padat, ekoran penundaan saingan disebabkan wab@k kor0navirus.

“Bagi saya MFL sudah banyak bagi kita ruang sebelum ini tapi untuk kali ini, pasukan kebangsaan perlu ada ruang membuat latihan kerana kalau ikut jadual itu mesti agak padat,” katanya kepada Arena Metro.

“Kalau ikutkan aksi terakhir kita adalah pada 19 November 2019 lalu, kalau nak tunggu sampai bulan Oktober dah hampir setahun kita tak main bersama untuk buat persiapan.

“Jadi saya agak bimbang juga apabila kita dah lama tak main bersama, ia akan memberi kesukaran dalam membentuk persefahaman. Ini peluang terbaik untuk pergi Piala Asia kalau kita berjaya raih keputusan positif dalam dua perlawanan kelayakan Piala Dunia dan Asia itu nanti.”

Setakat ini, AFC sudah mengeluarkan tarikh cadangan bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membabitkan skuad Harimau Malaya bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand.

Tarikh yang dicadangkan adalah pada 8 dan 13 Oktober menentang UAE di Dubai dan Vietnam di Bukit Jalil serta menentang Thailand pada 17 November di Bangkok.