Perkara Ini Bukan Berlaku Dua Minggu Lepas

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kini berhadapan dengan bebanan tinggi peninggalan hutang lama berjumlah RM10.6 juta termasuk tunggakan gaji sejak tahun lalu.

Menteri Besar merangkap Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor yang baru dilantik 12 Julai lalu berkata, meskipun terpaksa berhadapan dengan kemelut kewangan yang masih belum selesai, KFA tetap prihatin dengan isu tunggakan gaji dan sedang bekerja keras bagi memastikan perkara itu dapat diatasi dengan kaedah terbaik.

“Saya nak jelaskan kepada peminat yang khususnya prihatin kepada pasukan, saya pun turut prihatin, tetapi masalah gaji ini sudah berlaku sejak tahun lalu dan bukan sahaja tunggakan gaji, tetapi babitkan juga tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tiket pengangkutan.

“Perkara ini bukan berlaku dua minggu lepas tapi sejak tahun lalu dan pada masa itu tidak ada siapa pun yang merungut dan selepas saya memegang jawatan dalam dua minggu, ada pula yang ‘hentam’ saya, ini saya rasakan tidak patut.” katanya dengan nada tegas.

Sanusi juga berkata, beliau dan pihak pengurusan KFA akan mengkaji sedalam-dalamya mengenai perancangan yang dilakukan pengurusan tertinggi yang lalu sebelum menilai semula kesesuaian perancangan termasuk pemotongan gaji yang bakal dilakukan KFA.

Sanusi juga menegaskan pihaknya akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menjana kembali kewangan melalui penajaan baharu yang sedang dalam rundingan tanpa membabitkan ‘kantung’ kerajaan negeri.

“Saya tidak akan ambil duit itu untuk selesai masalah bola kerana ini adalah duit rakyat seperti duit untuk golongan yang memerlukan, anak yatim, ibu tunggal, sekolah dan lain-lain serta pembangunan khususnya untuk orang ramai. Saya Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan lakukan.

“Saya ada dua hingga tiga penaja baharu yang saya akan pergi berjumpa dan juga mereka akan datang berjumpa saya dan setakat ini, biarlah ianya menjadi rahsia dahulu dan saya harap ianya menjadi kenyataan.

“Saya positif berkaitan hal penajaan ini cuma berkaitan gaji saya harap tukarlah sedikit dan janganlah tinggi sangat,” katanya.