Perang ‘Tangan Emas’

KUALA LUMPUR: Saingan Liga Super musim 2020 tampak akan terus memukau penyokong bola sepak tempatan khususnya dengan aksi menakjubkan di hadapan gawang gol.

Saingan divisyen satu ini boleh diibaratkan umpama ‘p3rang penjaga gol nombor satu Malaysia’ terutama selepas melihat limpahan penjaga gol berbakat yang sudah berstatus pemain kebangsaan dan berpengalaman di pentas antarabangsa beraksi dalam Liga Super.

Suka ataupun tidak, aksi Liga Super yang akan diharungi mereka bersama pasukan masing-masing akan menjadi kayu pengukur menguji kemampuan mereka sama ada benar-benar layak untuk menjadi ‘benteng terakhir’ skuad kebangsaan.

Berdepan risiko apabila sentiasa menjadi ‘kambing hitam’ setiap kali pasukan mengalami kekalahan, berikut adalah analisis daripada bekas penjaga Skuad Olimpik 2000, Jamsari Sabian mengenai lima penjaga gol yang dijangka akan menyerlah bagi musim 2020 yang akan membuka tirainya Jumaat ini.

1. Farizal Marlias (JDT)

Penjaga gol JDT ini jelas berada dalam kelasnya yang tersendiri apatah lagi selepas dia dinobat Penjaga Gol Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK 2019).

Namun, dia membuktikan kemampuannya sebagai penjaga gol nombor satu negara dengan persembahan yang konsisten setiap kali diturunkan.

Dia menjadi antara kunci terhadap dominasi skuad Harimau Selatan dalam saingan bola sepak tempatan kerana dia membantu mengukuhkan lagi benteng pasukan itu yang sememangnya sudah mantap.

Saingan liga musim lalu menyaksikan dia dibolosi 19 kali dalam 20 perlawanan namun dia membantu JDT memenangi Piala Sultan Ahmad Shah, menjuarai Liga Super dan juga Piala Malaysia.

2. Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah)

Dengan rekod 18 gol dibolosi dalam 18 perlawanan, pencapaian ini boleh dianggap baik selepas dia hanya melepaskan satu gol dalam satu perlawanan secara purata.

Penjaga gol berusia 23 tahun itu membuktikan bertubuh besar bukanlah satu masalah menerusi beberapa aksi menyelamat yang baik di hadapan gol dan dia ada keyakinan tinggi setiap kali beraksi.

Memiliki tindak balas yang baik walaupun ada kalanya melakukan kesilapan namun dengan pengalaman luasnya bersama Kedah meskipun masih muda, dia dijangka terus menjadi penjaga gol utama skuad Lang Merah.

3. Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United)

Pemain yang mesra disapa ‘Apek’ ini masih lagi boleh dianggap sebagai antara penjaga gol terbaik negara ketika ini sekalipun sudah berusia 31 tahun ketika ini.

Bersama Melaka United, dia mencipta impak segera apabila ketangkasannya membantu skuad Hijau Putih menamatkan saingan di tangga keenam Liga Super.

Berpengalaman luas di pentas domestik dan juga antarabangsa, dia diberi kepercayaan beraksi dalam sebahagian besar perlawanan Liga Super musim lalu yang menyaksikan bekas penjaga gawang Kelantan ini melepaskan 25 gol dalam 20 perlawanan.

4. Helmi Eliza Elias (Pahang)

Helmi membuktikan betapa usia bukanlah satu penghalang untuk dia memperagakan aksi terbaik dalam saingan yang penuh kompetitif.

Penjaga gol berusia 37 tahun itu boleh dianggap sebagai antara penjaga gol paling mencuri tumpuan apabila hanya dibolosi 11 kali dalam 15 perlawanan liga yang diharungi musim lalu sekali gus membantu Pahang muncul naib juara Liga Super.

Dengan prestasi terbabit, tidak sukar untuk menjangkakan sekiranya Dollah Salleh akan terus meletakkan kepercayaan kepada Helmi untuk menjaga gawang Pahang musim ini.

Siapa tahu, mungkin dia mampu mencipta kejutan membuat kemunculan kembali bersama skuad kebangsaan selepas ini?

5. Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri (UiTM FC)

Penjaga gol muda daripada UiTM FC ini dilihat berpeluang beraksi bersama skuad utama pasukan itu musim ini.

Penjaga gol berusia 20 tahun itu menjadi antara pemain paling menyerlah dalam skuad Piala Presiden UiTM FC dan ia mungkin cukup menarik minat pengendalinya, Frank Bernhardt untuk memberi kepercayaan kepadanya menjadi penjaga gawang utama.

sumber: BH

Kekuatan utama Azfar adalah dia ada fizikal yang cukup baik untuk menjadi penjaga gol yang baik dan saingan Liga Super akan memberikan pengalaman yang berharga membantunya mengembangkan lagi permainannya.