Penyokong Kedah Mula Mempersoal !!

Lebih kurang sebulan Kedah telah menjalani latihan pra-musim di Stadium Sultan Abdul Halim dan beberapa aksi pemanas badan dalaman sudah dilalui. Namun, bagi sesetengah penyokong, ada yang mempersoalkan mengenai pasukan yang ditentang Kedah.

Bagi sesetengah penyokong, ada yang mempersoalkan lawan yang akan ditentang dengan mengatakan kenapa tidak mencari lawan yang lebih kuat kerana Kedah akan melalui pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 bermula pada 21 Januari depan.

Dua aksi pemanas badan telah dilalui iaitu menentang skuad B-21 Kedah dan Tambun Tulang FC dengan kedua-duanya dimenangi oleh Kedah. Selepas ini, Kedah akan turun menentang Perak B-21 sebelum berkunjung ke Kota Bharu untuk bertemu Kelantan.

Selepas aksi menentang Kelantan, Helang Merah akan memulakan siri Jelajah Pra-Musim 2020 ke Kemboja dengan empat perlawanan persahabatan sudah diatur iaitu menentang naib juara C-League Visakha FC, Boeung Ket FC, Angkor Tiger dan Phnom Penh Crown.

Menurut Aidil Sharin yang dihubungi Semuanya BOLA, lawan dan keputusan bukanlah perkara utama yang dicari olehnya namun, terdapat aspek yang perlu dinilainya melalui perlawanan sebegini.

“Keputusan bukan perkara utama untuk kita, tetapi persefahaman antara pemain lama dan baharu yang kita mahu lihat ketika ini.

“Dalam dua aksi menentang skuad B-21 dan Tambun Tulang, kita telah mencuba para pemain di beberapa posisi untuk membentuk ‘lapisan kedua’ sekiranya berlaku keced3raan pemain dan juga pengg4ntungan dalam saingan liga nanti,” jelasnya.

Pada musim 2019, Kedah menghadapi masalah besar setiap kali terdapat pengg4ntungan atau keced3raan pemain sepertimana ketika tanpa Renan Alves, Fernando Rodriguez dan sebagainya.

Begitupun, Aidil Sharin menjelaskan yang adalah terlalu awal untuk menyatakan Kedah sudah memiliki skuad yang lengkap kali ini.

“Terlampau awal untuk katakannya,” ujarnya sambil menegaskan pemain perlu bersaing dan bekerja keras untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama serta berpuas hati dengan komitmen yang telah dipamerkan oleh para pemain Kedah setakat ini.

“Saya belum fokus kepada posisi pemain kerana kita masih di peringkat awal pra-musim. Ia adalah masa untuk para jurulatih membuat sesi kecergasan dan pergerakan bola,” tambahnya lagi.

Aidil Sharin turut memaklumkan yang ketika ini semua pemain di kem Kedah cergas 100 peratus kecuali pertahanan kiri, Azmeer Yusof yang masih menjalani sesi pemulihan daripada keced3raan.