Penyokong Kedah hela nafas lega

ALOR SETAR: Tekanan yang dirasai oleh Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah selepas aktiviti bola sepak terhenti seketika akibat ancaman COVID-19 sedikit terubat apabila Kedah diisytihar sebagai zon hijau selepas Perlis dan Kelantan.

Presiden Kelab Peminat Bolasepak Kedah (PBK) Fazli Mansor berkata, di samping bersyukur pengisytiharan itu, pihaknya juga memohon semua penyokong bola sepak supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan sejak Mac lalu.

“Kami rasa sedikit lega dan bersyukur Kedah menjadi negeri ketiga selepas Perlis dan Kelantan yang telah diisytiharkan zon hijau COVID-19 seperti dimaklumkan meskipun kami sedar perjuangan melawan wabak ini belum lagi tamat sepenuhnya.

“Sebagai kelab penyokong bola sepak, kami juga tidak mahu ketinggalan dalam menyeru semua pihak khusunya penyokong bola sepak supaya terus mematuhi arahan-arahan semasa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Usah pandang mudah meskipun kita berada dalam zon hijau kerana kita perlu terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada, dan kita sudahpun berjuang sepanjang tempoh PKP yang kini sudah memasuki fasa keempat.

“Kepada seluruh warga penyokong bola sepak dan sukan lain di Kedah dan di mana sahaja anda berada, ayuh kita beri tumpuan penuh untuk terus melawan virus ini dengan mematuhi peraturan sedia ada seperti mengamalkan kebersihan diri, jarakkan diri satu meter dan sentiasa kekal di rumah,” kata Fazli.