Penyertaan JDT dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) ditolak oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), jadi tanda tanya?

KUALA LUMPUR: Status penyertaan wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan secara tiba-tiba mencetuskan tanda tanya.

Ia susulan terdapat dakwaan permohonan skuad Harimau Selatan untuk mendaftar dalam kejohanan itu ditolak oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Bagaimanapun, sehingga jam 5 petang semalam, belum ada kenyataan rasmi mengenai perkara itu sama ada daripada pihak AFC, mahu pun JDT sendiri.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John ketika dihubungi BH Sukan, juga enggan memberi komen lanjut berkaitan dakwaan itu.

Ketika diajukan soalan adakah dakwaan itu benar atau sekadar khabar angin, Windsor hanya berkata: “Buat masa ini tiada komen.”

Terdapat juga khabar angin yang mengatakan AFC menolak pendaftaran JDT berpunca daripada tindakan skuad Harimau Selatan menarik diri daripada kejohanan itu musim ini.

Jika benar dakwaan itu, hukuman berkenaan tampak tidak adil buat skuad Harimau Selatan kerana tindakan menarik diri terpaksa diambil selepas Kerajaan Malaysia tidak membenarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sebelum ini, media juga melaporkan JDT mungkin berdepan hukuman berdasarkan perkara 6.2 peraturan AFC, mana-mana pasukan yang menarik diri selepas peringkat kumpulan kejohanan itu bermula boleh didenda sehingga AS$50,000 (RM206,400) dan penggantungan sebanyak dua edisi.

Bagaimanapun atas sebab yang membabitkan pandemik COVID-19, skuad kendalian Benjamin Mora dijangka tidak akan dikenakan hukuman atas penarikan diri itu kerana terpaksa akur dengan keputusan kerajaan.

Sumber : BH