Penyerang skuad B-22 tahun negara mula latihan bersama Azul Claro Numazu

Penyerang skuad B-22 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak sudah memulakan latihan bersama kelab barunya iaitu Azul Claro Numazu.

Setelah diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain Azul Zlaro bagi menghadapi saingan divisyen ketiga liga bola sepak Jepun bagi musim 2021, Hadi tidak membuang masa dengan terus menyertai sesi latihan sekaligus bertemu dengan rakan sepasukan.

Hadi dipinjamkan dari kelab divisyen dua, Fagiano Okayama bagi mendapatkan lebih banyak minit bermain serta menimba pengalaman baharu dalam saingan divisyen ketiga.

Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bakal menyarung jersi bernombor 27 dan akan bersaing bersama beberapa pemain di bahagian serangan seperti Naoki Tanaka, Yuki Nakayama, Kota Suzuki, Yusuke Imamura dan Ryo Watanabe bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Hadi merupakan pemain Malaysia yang paling lama beraksi di Jepun dimana beliau mula beraksi di liga terbaik Asia itu pada 2019 bersama Fagiano.

Selain pernah beraksi bersama Fagiano, Hadi sebelumnya pernah menjalani ujian bersama satu lagi kelab iaitu Ruasso Kummamoto.