Penyerang Argentina sah milik JDT

JOHOR BAHRU: Juara Liga Super tujuh musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan mengikat pemain dari Argentina, Jonathan Herera bagi mengisi posisi serangan pasukan itu mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Herera yang berusia 30 tahun kini sedang melengkapkan tempoh kuarantin sebaik tiba ke Malaysia, semalam dan dia bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Diogio Luis Santo yang kini bersama kelab dari Thailand, BG Pathum United.

Menerusi kenyataan rasmi di laman Johor Southern Tigers, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest berkata, langkah mengikat pemain yang mempunyai ketinggian 1.75 meter itu berdasarkan corak permainan pemain itu sesuai dengan falsafah permainan yang diterapkan JDT.

“Kehadiran Herera, maka kami sudah melengkapkan kuota pemain import.

“Kami percaya Herrera adalah pemain yang sesuai oleh kerana umurnya dan cara dia bermain sesuai dengan corak permainan kami.

“Kami akan memperkenalkan Herrera secara rasmi selepas dia melengkapkan tempoh kuarantin dan akan mengumumkan lagi dua pemain selepas ini,” kata Prest dalam kenyataan itu.

Sebelum ini, JDT cuba untuk mendapat khidmat Camilo Sanvezzo namun pemain dari Brazil itu tidak dilepaskan oleh kelab Liga Mexico, Mazatlan FC yang menyambung kontrak pemain itu.

Namun, JDT nyata tidak berputus asa apabila berjaya membawa masuk Herera yang pernah beraksi bersama Liga Perdana Argentina, Central Córdoba dan membuat tiga penampilan.

Penamplan paling banyak Herera adalah dalam saingan Liga Perdana B Argentina bersama Deportivo Riestra pada musim 2013 hingga 2019 apabila beraksi 145 perlawanan dan berjaya menjaringkan 91 gol dan karier sebagai pemain profesional ketika bersama kelab liga bawahan Argentina iaitu Centro Espanol pada 2010.