Penonton akan kembali dibenarkan memasuki stadium?

Kuala Lumpur: Peminat bola sepak negara menerima khabar gembira apabila besar kemungkinan penonton akan kembali dibenarkan memasuki stadium bermula saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perkara itu didedahkan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila mengesahkan satu prosedur operasi standard (SOP)┬ábaharu yang sedang dirangka bakal menyaksikan ia digunakan untuk membolehkan ‘pemain ke-12’ kembali memberi sokongan dan menghangatkan suasana stadium.

Jelas Tunku Ismail yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta bekas Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini, kebenaran berkenaan bakal menyaksikan 10 peratus kemasukan penyokong dipertimbangkan berdasarkan kepada bilangan kapasiti sesebuah stadium.

“Berita gembira. SOP. Progress. Akan datang. Bola sepak akan kembali. Kali ini dengan penyokong. 10% dari kapasiti stadium,” tulisnya di laman story Instagram miliknya semalam.

Kebenaran itu pastinya turut memberi kelegaan buat pasukan-pasukan bertanding yang sebelum ini tersepit ekoran kegagalan meraih pendapatan menerusi kutipan tiket.

Menerusi laporan Arena Metro minggu lalu, saingan Liga M bakal berdepan krisis terbesar dalam sejarah penganjurannya apabila dijangka berdepan risiko muflis seandainya penyokong bola sepak tempatan masih tidak dibenarkan ke stadium musim depan.

Jangkaan itu hadir susulan kebergantungan kewangan setiap pasukan Liga M adalah dari hasil kutipan tiket penonton selain wang tajaan yang diterima daripada syarikat-syarikat swasta serta badan bukan kerajaan.