Penjaga gol Kedah dilatih oleh legenda penjaga gol negara

Alor Setar: Pengalaman dan kepakaran legenda penjaga gol negara Khairul Azman Mohamed yang kini menjawat jawatan jurulatih penjaga gol baharu Kedah menjadi impian seterusnya skuad Hijau Kuning untuk menghasilkan lebih ramai penjaga gol berwibawa pada masa depan.

Beliau yang diumumkan jawatan berkenaan untuk musim 2021 itu bagi menggantikan jurulatih Mohd Effendy Kamsah, sudah mula menjalankan tugas pada hari pertama bersama pasukan di padang latihan semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Khamal Idris Ali berkata, skuad Kedah kini lebih fokus melakukan penambahbaikan dalam membentuk pasukan yang mantap untuk menghadapi musim Liga M yang dijangka lebih mencabar pada musim depan.

“Selamat datang legenda penjaga gol Khairul Azman ke Kedah. Kemasukan beliau adalah satu strategi terbaharu kerana kita mahu melakukan penambahbaikan dari semua aspek, termasuk kejurulatihan pada musim depan berbanding musim sebelum ini.

“Dari banyak pengalaman yang beliau lalui, saya rasa kita akan dapat menerima manfaat besar untuk memajukan pasukan dan beliau diyakini dapat mencurahkan segala ilmu penjaga gol khususnya untuk pemain muda hingga senior dalam pasukan Kedah.

“Faktor memiliki banyak ilmu, pengalaman dan kecemerlangan sebagai penjaga gol yang digelar legenda dan terhebat pada era 90-an dahulu menjadi tarikan utama disamping pernah membentuk dan melahirkan beberapa penjaga gol yang hebat untuk negara.” katanya.

Khamal juga meluahkan rasa syukurnya kerana usaha membawa legenda itu ke Kedah telah berjaya dilakukan mengikut perancangan yang telah diaturkan.

“Kita bersyukur kerana dia juga rasa gembira apabila kita melahirkan hasrat untuk membawanya ke dalam pasukan Kedah, tambahan pula saya sendiri mengenali nya secara dekat kerana saya juga bekas pemain bola sepak.” katanya.

Khairul Azman yang adalah bekas penjaga gol kebangsaan dengan 59 penampilan, memiliki rekod cemerlang sebagai penjaga gol Pahang dari 1985 hingga 1995 dan kemudian menyertai Sabah hingga 2005.

Antara pencapaian membanggakan beliau adalah ketika bersama Pahang semasa menjuarai Piala Malaysia 1992 sementara bersama Sabah pula, beliau membantu skuad itu muncul juara Piala FA pada tahun 1995, juara Liga Perdana 1996 dan juga pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik Piala Malaysia pada ketika itu.

Sebagai jurulatih penjaga gol, beliau menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2013 dan adalah antara individu penting dalam membimbing tiga penjaga gol ternama iaitu Farizal Marlias, Izham Tarmizi Roslan dan K Sasi Kumar.

Sumber : HM