Penang FC akan memberi cabaran sengit berdepan TFC

Kuala Lumpur: “Biarpun kami pasukan baharu di Liga Super, tapi saya kagum melihat mentaliti pemain kerana sentiasa mahukan kemenangan dan tidak gentar untuk bersaing walaupun semua tahu kami adalah sebuah pasukan kecil jika hendak dibandingkan pasukan lain,” demikian kata pemain tengah Penang FC, David Rowley.

Jelasnya, itu menjadi antara resipi kejayaan Penang buat masa ini yang hanya mencatat satu kekalahan selain meraih lima kemenangan bagi membawa mereka kini di tangga keempat Liga Super, empat mata sahaja di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dia sendiri begitu berbangga dengan pencapaian skuad Harimau Kumbang yang dilihat mengejutkan ramai pihak biarpun tidak ramai memperkatakan peluang mereka di awal musim ini.

Namun Rowley enggan menjadikan keputusan yang sedang dikecapi membuatkan ramai pihak meletakkan mereka antara pasukan pilihan bagi mencabar kejuaraan biarpun kedudukan mata mereka semakin rapat di belakang JDT, Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

“Fokus kami adalah untuk sentiasa berada lebih baik dari tiap perlawanan yang dilalui dan untuk memperkatakan kami boleh mencabar kejuaraan, saya rasa kami masih terlalu jauh hendak dibandingkan pasukan lain terutama dengan JDT.

“Pengurusan meletakkan sasaran kami untuk berada dalam kalangan enam terbaik, jadi itu akan sentiasa menjadi matlamat utama pasukan namun sukar untuk saya ramal apa yang akan berlaku sepanjang musim ini.

“Jika kami mampu mencipta beberapa kejutan sepanjang musim ini, mungkin ada ruang untuk berada di kedudukan lebih baik yang mampu mengejutkan semua pihak, ” katanya.

Dalam perlawanan terakhir, Penang mudah membenam Sri Pahang FC dengan kemenangan 3-0 di Stadium Bandaraya menerusi jaringan Endrick dos Santos, Danial Ashraf Abdullah dan Jafri Firdaus Chew.

Antara kejutan yang dilakar Penang musim ini ialah menundukkan Selangor 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan 2-1 mengatasi Melaka United FC di Stadium Hang Jebat.

Ujian seterusnya buat Pulau Pinang selepas ini adalah bertemu Terengganu FC, yang masih segar dengan kejayaan menjadi pasukan pertama menewaskan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, 1-0 Sabtu lalu.

sumber:HM