Pemilihan Goulon ke dalam skuad Negeri Sembilan FC adalah tepat

Kehadiran pemain import berpengalaman Herold Goulon diyakini mampu meletakkan kekuatan bahagian pertahanan Negeri Sembilan lebih mantap, dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Keyakinan itu disuarakan pemain tengah, K Sarkunan, bahawa Goulon yang mewakili Sri Pahang FC musim lalu memiliki pakej tersendiri dan boleh membantu Negeri Sembilan menjadi antara pencabar terkuat saingan Liga Super.

“Kehadiran Guolon bakal menambah kekebalan bahagian benteng pasukan kerana dia bukan sahaja memiliki susuk tubuh yang besar dan mantap malah ketinggiannya 1.95 meter mampu menyaingi pemain lain dalam situasi bola tinggi.

“Sebagai anggota baharu dalam skuad Negeri Sembilan, saya mengalu-alukan kehadiran Goulon dan merasa lebih yakin dengan kekuatan pasukan dengan kehadiran pemain sepertinya.

“Malah, yakin dan percaya, pemilihan Goulon oleh pengurusan Negeri Sembilan FC (NSFC) adalah tepat kerana saya juga mengikuti persembahannya bersama Sri Pahang dan aksinya amat meyakinkan,” katanya di sini, hari ini.

Goulon, 33, yang berasal dari Perancis antara dua pemain import yang sudah diikat NSFC setakat ini selain seorang lagi ialah David Gordon Mawutur, 29, yang berasal dari Ghana.

Sarkunan berkata, pihaknya difahamkan Goulon juga boleh beraksi di bahagian tengah dan ini suatu kelebihan buat pasukan dalam membentuk gandingan pemain yang berwibawa di setiap bahagian.

“Kelebihan yang ada pada Goulon sudah tentu akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh jurulatih dalam melakukan perancangan bagi memantapkan pasukan.

“Malah, beliau juga dikatakan berkebolehan melakukan sepakan yang baik bagi situasi bola mati dan berkeupayaan menjaringkan gol,” katanya.

Bekas pemain Selangor FC itu berkata, dia akan berusaha membentuk gandingan dan keserasian yang mantap bersama pemain import terbabit serta pemain lain, dalam memastikan penampilan skuad Hobin Jang Hobin sepanjang mengharungi cabaran musim ini lebih meyakinkan.

Dia akui setiap pemain perlu segera menyesuaikan diri dalam pasukan dan cepat membentuk gandingan mantap antara satu lain kerana saingan Liga M bakal membuka tirainya tidak lama lagi.

“Fokus saya sekarang adalah bekerja keras meningkatkan prestasi dan membentuk keserasian dengan semua pemain.

sumber : arena metro

“Selepas hampir dua minggu berada di sini, situasi dalam pasukan amat baik dan selesa menjalani latihan. Kami sedang berusaha membina kekuatan pasukan secara bersama,” katanya.