Pemain tengah skuad kebangsaan Filipina jadi pilihan Melaka United?

KUALA LUMPUR – Melaka United dilaporkan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pemain tengah skuad kebangsaan Filipina dalam usaha memperkuatkan pasukan dalam Liga Malaysia musim depan.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu dijangka menjadikan Manuel Ott sebagai pilihan selepas dia membantu United City FC memenangi saingan Philippines Football League (PFL) musim 2020.Ott merupakan pemain kacukan Filipina-Jerman yang dilahirkan di kota Munich dan dia pernah beraksi bersama beberapa kelab Jerman antaranya TSV 1860 Munich dan FC Ingolstadt 04.Pemain berusia 28 tahun itu mula beraksi di Filipina pada tahun 2014 bersama Ceres-Negros atau yang kini lebih dikenali dengan nama United City FC.

Ott juga pernah beraksi di Thai League 1 bersama Ratchaburi Mitr Phol secara pinjaman selama satu musim pada 2019 lalu sebelum kembali ke United City pada awal tahun ini.

Bersama pasukan kebangsaan Filipina, Ott telah membuat sebanyak 50 penampilan sejak beraksi bersama The Azkals pada 2010 lalu.Abang kepada Mike Ott juga pernah beraksi dalam temasya Piala Asia 2019 namun gagal membantu Filipina layak ke peringkat kalah mati setelah tewas dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan.