Pemain tengah kelahiran Jerman lengkapkan pemain import Red Giants

KUALA LUMPUR: Selangor FC mengumumkan pemain tengah kelahiran Jerman, Manuel Konrad sebagai bintang import terakhir pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan membuka tirai pada 5 Mac ini.

Matlamat dan falsafah baharu Selangor FC menjadi faktor utama Konrad atau lebih mesra dipanggil Manu memilih Red Giants selepas beraksi di Jerman sepanjang kerjayanya.

“Apabila kontrak saya bersama KFC Uerdingen 05 berakhir, saya dihubungi Pengarah Teknikal Selangor FC, Michael Feichtenbeiner serta ketua jurulatih Red Giants, Karsten Neitzel.

“Mereka menerangkan mengenai matlamat serta falsafah kelab ini dan ia memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi pemain penting dalam rancangan mereka.

“Saya yakin Selangor FC dapat bermain dengan cara yang menarik dan bersemangat tinggi dengan falsafah yang dirancang.

“Ia pasti memerlukan sedikit masa untuk menjayakannya, tetapi jika kita bekerja keras kita mampu melakukan apa sahaja,” katanya.

Berasal dari wilayah Illertissen, Jerman, pemain berusia 32 tahun itu pernah dipanggil mewakili skuad remaja negara kelahirannya untuk pasukan B-19 dan B-20 pada tahun 2006 sehingga 2008.

Sebelum melebarkan sayap ke Asia, dia sudah beraksi dalam 65 perlawanan untuk kelab terakhirnya di Jerman iaitu KFC Uerdingen 05 dan merekod satu jaringan gol serta dua bantuan gol sepanjang bersama kelab itu.