Pemain profesional kembali jadi nelayan

Ketika pemain lain melakukan latihan sendiri di rumah sepanjang penangguhan Liga Malaysia (Liga M), lain pula bagi Syed Sobri Syed Mohamad yang menjadikan laut sebagai tempat dia ‘bera ksi’ mengekalkan tahap kecergasan.

Syed Sobri yang juga perancang tengah UKM FC menggunakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk kembali melakukan pekerjaan lamanya sebagai nelayan.

Pekerjaan itu sebenarnya bukan asing buat pemain berusia 26 tahun berkenaan kerana sudah memiliki pengalaman sejak kecil turun ke laut bersama keluarga dan rakan di kampung halamannya, Kemaman, Terengganu.

“Apabila balik ke sini (Kemaman), memang menangkap ikan antara kegiatan yang saya akan buat kerana saya memang berasal daripada keluarga nelayan, tiada apa yang asing bagi saya.

“Saya akan turun di waktu malam dan balik menjelang subuh. Begitulah rutin saya setiap hari pada tempoh PKP ini dan jika cuaca tidak mengizinkan, saya akan berehat,” katanya.

Syed Sobri memulakan kerjaya bersama Sime Darby FC selama dua musim dari 2015 hingga 2016 sebelum berhijrah ke Melaka pada musim berikutnya.

Dia juga pernah menyarung jersi T-Team pada pertengahan musim 2017 sebelum pasukan itu dijenamakan semula kepada Terengganu FC II pada 2018 dan beralih arah bersama UKM FC sejak musim lalu.

Dalam pada itu, Syed Sobri mengakui aktiviti menangkap ikan menjadikan dia kekal cergas kerana pekerjaan itu bukan mudah untuk dilakukan.

“Mungkin kerja menangkap ikan ini orang ingat macam mudah tetapi sebenarnya memerlukan kudrat yang kuat terutama ketika menarik pukat.

“Selain melakukan latihan sendiri di rumah, saya rasa aktiviti menangkap ikan membuatkan saya kekal bertenaga sepanjang tempoh PKP kerana ini satu pekerjaan yang berat,” katanya.