Pemain Mungkin Perlu ‘Bertolak Ansur’

KUALA LUMPUR: Pemain mungkin perlu ‘bertolak ansur’ dan mempertimbangkan pembayaran separuh gaji daripada pasukan masing-masing memandangkan mekanisme itu dianggap langkah penyelesaian yang ideal ketika berdepan krisis COVID-19.

Cadangan itu disuarakan bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad yang melihat mekanisme itu bukan sahaja dapat melindungi hak pemain namun dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung pasukan berdepan masalah kewangan susulan penangguhan liga.

Jelasnya, semua pihak perlu menyedari industri bola sepak ketika ini sedang berdepan detik sukar dengan pandemik itu turut memberi kesan di seluruh dunia.

“Saya memahami kesulitan dihadapi terutama membabitkan pemain dan pasukan. Pemain memerlukan gaji untuk menyara keluarga mereka manakala pasukan memerlukan penajaan untuk menghidupkan kewangan mereka.

“Mungkin mekanisme terbaik adalah bayar dahulu separuh gaji pemain dalam detik sukar ini. Mungkin ini adalah jalan terbaik untuk melindungi hak pemain atau kelab itu sendiri tetapi ingatlah bukan mereka sahaja terpalit dalam masalah kewangan sebaliknya seluruh dunia merasai kesan buruk COVID-19 ini,” katanya.

Setakat ini, dua pasukan mengumumkan mereka mengenakan pemotongan gaji sebagai pelan untuk berdepan krisis COVID-19 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengenakan pemotongan 33 peratus gaji dan UKM FC membabitkan pemotongan sebanyak 15 ke 20 peratus.

Dalam perkembangan sama, Redzuan memuji tindakan pantas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang sentiasa mengikuti saranan kerajaan pusat selepas saingan liga perlu ditangguhkan lagi apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April ini.

“Pujian harus diberikan kepada FAM dan MFL (selepas terus menangguhkan aksi domestik). Lupakan dahulu bola sepak kerana nyawa manusia lebih penting. Usaha FAM dan MFL ini adalah sama seperti dilakukan badan induk bola sepak negara lain di mana mereka sendiri pun menangguhkan aksi domestik dan ada segelintir sudah menamatkan saingan liga kerana wabak COVID-19 ini.

“Ini adalah detik sukar buat bola sepak dunia selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Jadi, saya berharap kita semua dapat berdoa akan negara kita akan menjadi harmoni seperti biasa pada masa akan datang,” katanya.