Pemain Kelahiran Manchester sah sarung jersi Selangor

KUALA LUMPUR: Benteng Selangor bakal mendapat ‘aura Manchester’ selepas mereka sah mengikat pemain kelahiran England itu iaitu Nick Swirad bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Bagaimanapun, pertahanan tengah berusia 28 tahun itu bukanlah pemain import buat skuad The Red Giants memandangkan dia berstatus pemain berdarah kacukan.

Pemain berdarah Inggeris-Melayu itu menjadi rekrut ketiga daripada PKNS FC yang ‘dinaikkan pangkat’ oleh Selangor selepas mereka sudah mendapatkan khidmat penjaga gol, Tauffiq Ar Rasyid Johar dan seorang lagi pertahanan, Rodney Celvin Akwensivie.

Kehadiran Swirad pasti dapat membantu kualiti pertahanan Selangor dengan dia dijangka bergandingan dengan pertahanan import, Taylor Regan serta rakan sepasukannya di PKNS FC sebelum ini iaitu Rodney.

Sebagai rekod, karier bola sepak profesionalnya bermula empat tahun lalu bersama pasukan Northern Rangers selepas lapan tahun beraksi dalam saingan bola sepak bukan liga di tempat kelahirannya.

Bersama Northern Rangers, Swirad berjaya mencatat 13 penampilan dan menjaringkan dua gol.

Dia kemudiannya berhijrah ke Malaysia selepas ditawarkan untuk bermain bersama pasukan Johor Darul Takzim II (JDTII) pada tahun 2016 sebelum dilamar Melaka United (MU) pada 2018 dan menyertai PKNS FC pada musim 2019.