Pemain kelahiran Korea Selatan Mengisi Kuota Import Perak ?

Meskipun masih tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), skuad Yob itu dikatakan sudah mengisi kuota pemain import dari benua Asia.

Menurut sumber Stadium Astro, pemain pertahanan tengah kelahiran Korea Selatan, Joen-Hyo Seok sudah diikat pasukan yang beraksi pada semua edisi Liga Super sejak mula diperkenalkan pada 2004 itu.

Ia disahkan sendiri oleh ketua jurulatih pasukan Perak, Mehmed Durakovic berhubung kehadiran pemain berusia 22 tahun yang sebelum ini beraksi bersama kelab K-League 2, Asan Mugunghwa.

“Kami sudah mengikat Seok Jeon dan dia akan berganding tenaga dengan Leandro Dos Santos, Raianderson Da Costa Morais (Careca) dan Guilherme De Paula.”

Jeon Hyo-Seok ketika beraksi untuk Asan Mugunghwa FC di K-League 2 2019.

Dengan tiada perubahan besar yang dilakukan bagi menghadapi musim 2020, Perak bakal menyandarkan harapan kepada Joen-Hyo Seok dan ketua pasukan, Shahrul Mohd Saad untuk mengepalai jentera pertahanan.

Dalam pada itu, Mehmed turut menjelaskan bahawa beliau kini sedang mengintai khidmat seorang pemain daripada Singapura.

sumber: semuanyabola

“Saya telah pergi ke Singapura baru-baru ini untuk melihat calonnya.”

“Memang ada yang menambat hati dan segalanya kini terserah kepada jawatankuasa tertinggi Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), terutama presiden yang akan membuat keputusan, ” ujar pengendali dari Australia itu.

Selepas bekas kapten Filipina, Misagh Bahadoran kurang menyerlah pada musim 2018, Mehmed Durakovic mengambil keputusan untuk tidak menggunakan khidmat pemain import dari Asia Tenggara pada musim lalu.