Pemain kelahiran Amerika Syarikat bakal perkuat skuad Malaysia B-19

Seorang pemain kelahiran Amerika Syarikat (AS) bakal dipanggil untuk memperkuatkan skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) untuk mengharungi Kejuaraan AFC B-19 di Uzbekistan, oktober tahun ini.

Menurut laporan Stadium Astro, pengurus skuad Malaysia B-19, Datuk Kamarul Ariffin mengesahkan seorang pemain muda yang beraksi bersama kelab berpengkalan di negara Uncle Sam tersebut akan dipanggil.

Ia juga sebagai salah satu usaha untuk memastikan Malaysia B-19 berjaya mara ke peringkat separuh akhir sekaligus menempah tiket untuk layak ke Kejuraan Piala Dunia B-20 yang akan berlangsung di Indonesia, tahun depan.

“Kami masih lagi menghormati situasi pemain tersebut untuk mendapatkan kad pengenalan Malaysia. Dia tidak bermasalah dalam hal ini dan kedua-dua ibu bapanya berasal dari Malaysia,” kata Datuk Kamarul.

Selain daripada mendapatkan pemain tersebut untuk menyarung jersi Malaysia, pihaknya turut merancang beberapa perlawanan persahabatan dan menyertai kejohanan jemputan peringkat antarabangsa.

“Kami telah menerima jemputan untuk menyertai Piala Perancis dan bakal menjadi satu-satunya pasukan dari Malaysia yang bertanding dalam kejohanan tersebut. Ia akan digunakan sebagai medan persiapan skuad negara sebelum menghadapi saingan di Tashkent.” tambahnya lagi.