Pemain JDT Akan Dipanggil

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui beberapa tonggak yang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) diperlukan untuk menguatkan lagi pasukan kebangsaan dalam mengharungi perlawanan akan datang.

Cheng Hoe berkata, walaupun beberapa pemain seperti Safawi Rasid, Corbin Ong, Mohamadou Sumareh dan Matthiew Davies tidak disenaraikan pada perlawanan persahabatan baru-baru ini namun keringat mereka masih ditagih untuk membentuk skuad yang lebih mantap.

Malah, beliau juga tidak akan membuang masa lagi dengan menguji pemain baharu kerana mahu fokus perbaiki kelemahan dan membentuk gandingan mantap sebelum bermulanya saingan Piala AFF yang akan berlangsung pada Disember ini.

Bekas pengendali Kedah itu berkata, ketika ini beliau juga akan memantau keupayaan tonggak berkenaan dengan harapan tidak mengalami kec3deraan ketika beraksi bersama kelab masing-masing.

Kita memang memerlukan beberapa pemain utama yang pernah disenaraikan dalam skuad kebangsaan sebelum ini terutama dari JDT.

Perkara terbabit tidak dapat dielakkan dan seperti sedia maklum sudah mengetahui keupayaan mereka pada aksi bersama skuad kebangsaan sebelum ini.

“Malah, barisan kejurulatihan juga kemungkinan tidak akan memanggil lagi pemain baharu kerana sudah kesuntukan masa. Sekarang ini fokus adalah perbaiki kelemahan dan membentuk barisan pemain terbaik,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Cheng Hoe berkata, barisan pemain ketika ini giat menjalani latihan secara gelembung sukan walaupun berada dalam tempoh kuarantin.

Semua pemain masih lagi menjalani latihan dalam tempoh kuarantin kerana kita mahu menggunakan waktu yang ada ini untuk memperbaiki kelemahan dan memastikan mereka berada pada tahap optimum.

Berkaitan senarai akhir barisan pemain, setakat ini kita belum menentukannya lagi namun sudah tentu mahukan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan, katanya.

Terdahulu, barisan kejurulatihan Harimau Malaya perlu bekerja keras dalam membentuk skuad kebangsaan yang lebih mantap terutama selepas Malaysia dibelasah 0-4 dan 1-5 dalam perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan, baru-baru ini.

Skuad Harimau Malaya bakal berdepan dengan dua perlawanan penting membabitkan saingan Piala AFF dijadual berlangsung dari 5 Disember sehingga 1 Januari tahun depan.

Saingan Piala AFF juga sebagai medan terbaik untuk memilih pemain bagi menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023.

sumber:- HM

Skuad kebangsaan turut akan menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 dijangka berlangsung Februari tahun depan.