Pemain import terbaharu dari Greece bakal kemudi benteng pertahanan pasukan Kelantan FC

Pemain import terbaharu pasukan Kelantan FC musim 2021 iaitu yang berasal dari Greece dijangka akan tiba di Malaysia pada 15 Febuari 2021 untuk menyertai skuad The Red Warriors menjelang sepak mula Liga Malaysia yang akan belangsung tidak lama lagi.

Beraksi diposisi pertahanan tengah, Christos Intzidis dikatakan bakal mengemudi benteng pertahanan pasukan Kelantan FC dalam menghadapi cabaran hebat dari pasukan-pasukan lain dalam saingan Liga Premier 2021.

Berdasarkan ‘pendedahan’ yang dibuat oleh pemilik Kelantan FC melalui laman sosial Facebook semalam, serta beberapa lagi maklumat yang dikongsikan Christos Intzidis kini sudah bersiap sedia untuk terbang ke Malaysia dari Athens pada hari Ahad ini dan pastinya bakal membuatkan penyokong The Red Warriors teruja menantikan ketibaan beliau.

Musim 2020 yang lalu Christos Intzidis beraksi bersama kelab FK Miercurea Ciuc dan CS Concordia Chiajna dalam saingan divisyen 2 Liga Romania sebelum dipancing untuk bersama Kelantan FC musim ini.

Christos Intzidis juga sebelum ini pernah berkelana ke Australia, beraksi untuk kelab semi pro, South Melbourne dalam National Premier Leagues Victoria 2018.