Pemain import belum serasi dan kurang persefahaman

Kuala Terengganu: Kelonggaran jentera tengah selain pemain belum serasi sepenuhnya menjadi punca pasukan Perak FC diaibkan dengan kekalahan terbesar 5-0 kepada Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, malam tadi.

Perkara itu diakui ketua jurulatihnya, Chong Yee Fatt yang begitu kecewa dengan persembahan anak buahnya yang bagaikan hilang arah terutama selepas kerap dis3rang barisan pemain skuad kendalian Nafuzi Zain.

Malah rangkaian penyerang juga dilihat gagal menghidu peluang dengan sebaik mungkin selain kerapuhan benteng pertahanan juga terserlah sejak awal permainan lagi.

“Saya sedikit kecewa dengan kekalahan yang agak besar kepada TFC pada malam ini (malam tadi), seharusnya ia tidak berlaku.

“Puncanya saya lihat pemain tengah kami agak longgar dan pada masa yang sama juga boleh dikatakan keseluruhan pemain tidak memberikan permainan yang saya harapkan sebagaimana perancangan yang diatur.

“Faktor lain pula pemain import dilihat belum serasi sepenuhnya dan kurang persefahaman kerana ada kalangan mereka ini lewat tiba untuk menjalani latihan bersama pasukan,” katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan itu.

Mengulas lanjut, Yee Fatt akui beliau tiada pilihan lain kecuali perlu membuat kerja rumah bagi menyuntik semangat pemain menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur City FC pada Selasa ini di Stadium Perak, Ipoh.

“Setiap perlawanan begitu penting lebih-lebih lagi kini kami berada di tangga kesepuluh liga, jadi pemain perlu segera bangkit untuk memburu kemenangan, lupakan episod kekalahan kepada TFC,” katanya yang bakal melakukan rombakan posisi bertemu skuad The City Boys.